MOHD Roslen (dua kanan) beramah mesra bersama banduan yang terpilih bertemu keluarga ketika meraikan program Jalinan Kasih Penjara Kajang. FOTO Hazreen Mohamad
MOHD Roslen (dua kanan) beramah mesra bersama banduan yang terpilih bertemu keluarga ketika meraikan program Jalinan Kasih Penjara Kajang. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seramai 36 banduan di Penjara Kajang diraikan dalam Program Jalinan Kasih Sempena Deepavali, hari ini, yang membolehkan mereka bertemu ahli keluarga secara bersemuka.

Pengarah Penjara Kajang Timbalan Komisioner Penjara Mohd Roslen Ramli berkata, permohonan untuk menyertai program berkenaan terbuka kepada semua banduan di penjara terbabit yang beragama Hindu.

Katanya, Penjara Kajang menempatkan seramai 5,810 banduan dengan 1,065 banduan berbangsa India, setakat hari ini.

Bagi program itu, pihaknya membuat tapisan dengan menetapkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

"Antara syarat dikemukakan adalah terdiri daripada banduan menjalani hukuman penjara setahun ke atas atau fasa dua dalam sistem penjara selain berkelakuan baik, tiada tindakan tatatertib dikenakan dalam penjara serta mendapat sokongan daripada pegawai blok, pegawai pemulihan dan pengarah.

"Hasil tapisan itu, 41 banduan terpilih membabitkan tiga banduan akhir, seorang banduan Tahanan Limpah Sultan (LTS), seorang banduan hayat dan 35 banduan hukuman lama (tempoh penjara melebihi tiga tahun. Namun, hanya 36 banduan yang ahli keluarga mereka dapat hadir, hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jalinan Kasih Sempena Deepavali di Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Mohd Roselan berkata, majlis itu adalah salah satu program yang diadakan untuk menerapkan hasrat menjadikan institusi penjara sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan.

"Program ini kerap kita adakan iaitu setiap kali perayaan seperti Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Krismas selain Deepavali.

"Ini kerana kita mahu mengambil pendekatan kemanusiaan bagi mendekatkan golongan banduan supaya mereka diterima dalam masyarakat terutamanya ahli keluarga mereka sendiri apabila bebas nanti.

"Pada masa sama, program ini juga dilihat dapat menaikkan semangat banduan untuk berubah apabila mendapat sokongan daripada ahli keluarga mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 4:28 PM