PETUGAS perubatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas banduan yang akan dibebaskan di Penjara Kajang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PETUGAS perubatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas banduan yang akan dibebaskan di Penjara Kajang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 243 banduan di Penjara Kajang menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 5 Jun lalu.

Pengarah Penjara Kajang Timbalan Komisioner Penjara Abdul Halim Ma-Hassan berkata, banduan yang menjalani ujian saringan berkenaan membabitkan mereka bakal dibebaskan serta banduan baharu.

Beliau berkata, ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu selaras dengan arahan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 yang boleh disebarkan golongan terbabit.

"Hasil keputusan diperoleh mendapati 243 banduan berkenaan negatif Covid-19.

"Seramai 40 banduan warga asing yang bakal dibebaskan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 5 Jun lalu.

"Mereka yang didapati negatif akan diserahkan kepada JIM untuk ditempatkan di depoh tahanan sebelum diusir ke negara masing-masing," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Penjara Kajang, semalam.

Beliau berkata, banduan yang menjalani ujian saringan itu akan dikumpulkan di lokasi khusus supaya tidak bercampur dengan banduan lain selain bagi mengawal pergerakan mereka sehingga keputusan diperoleh.

Menurutnya, semua banduan baharu diterima daripada pelbagai agensi turut disaring dan menjalani ujian saringan berkenaan.

"Bagi mereka yang mempunyai simptom seperti demam dengan suhu badan mencecah 38 darjah Selsius, mereka akan dirujuk kepada pihak perubatan.

"Malah, mereka diasingkan dalam tempoh 14 hari selama dua kali (28 hari) sebelum dicampurkan bersama banduan lain bagi memastikan individu berkenaan benar-benar bebas daripada virus berkenaan sepanjang tempoh itu," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan tidak membabitkan keseluruhan banduan di Penjara Kajang iaitu bagi kategori penghuni yang sudah berada di penjara berkenaan sebelum penularan Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, setakat ini, hanya 50 banduan lama yang mempunyai simptom menjalani ujian berkenaan dan didapati negatif.

Katanya, pada masa sama, pihaknya mengambil inisiatif melakukan sanitasi di seluruh kawasan penjara ini secara berkala bagi mengelakkan penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 12:23 PM