Hafiz ketika ditemui di Penjara Kajang. FOTO Ihsan Penjara Kajang
Hafiz ketika ditemui di Penjara Kajang. FOTO Ihsan Penjara Kajang
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: "Seperti Allah SWT bagi peluang kedua kepada saya untuk menjadi 'hafiz' semula apabila berpeluang mengikuti kelas tahfiz dalam penjara," kata seorang banduan dikenali sebagai Muhamad.

Muhamad, 35, berkata, sebelum penubuhan Kelas Tahfiz Khairul Ummah Penjara Kajang, dia menghafaz al-Quran bersendirian sejak masuk ke penjara itu pada 2017 bagi menjalani hukuman penjara selama 12 tahun serta lapan sebatan atas kesalahan seksual.

"Sebelum ini, saya memang pelajar sebuah tahfiz di Bota, Perak sejak berusia 11 tahun hingga 16 tahun. Waktu itu, saya memang hafal 30 juzuk al-Quran.

"Namun selepas keluar dari tahfiz itu, hidup saya tersimpang jauh dari agama akibat pengaruh rakan. Saya langsung tak amalkan ajaran Islam dan tidak lagi membaca al-Quran sehingga dimasukkan dalam penjara.

"Apabila saya dimaklumkan mengenai program ini, saya terus memohon dan dimaklumkan berjaya melepasi ujian mengikuti kelas tahfiz berkenaan," katanya ketika ditemui di Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Beliau adalah antara 20 banduan yang mengikuti Kelas Tahfiz Khairul Ummah Penjara Kajang membabitkan sesi pembelajaran Hafazan, Tasmik, I'adah, Tajwid dan Fardhu Ain.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, kelas tahfiz berkenaan diharap dapat membantunya bergelar 'hafiz' semula sebelum keluar dari penjara sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

"Jika diikutkan, saya akan bebas dari Penjara Kajang pada Mac 2025 sebaik menjalani hukuman penjara kira-kira sembilan tahun selepas mendapat pengurangan hukuman.

"Justeru, saya nak ambil masa ini untuk hafal balik al-Quran supaya boleh berubah menjadi insan lebih baik dengan peluang diberikan oleh Allah SWT ini," katanya yang merancang untuk belajar sambil mengajar al-Quran sebaik dibebaskan nanti.

Seorang lagi pelajar di kelas tahfiz berkenaan dikenali sebagai Hafiz, 28, berkata, dia mahu bergelar 'hafiz' seiring dengan maksud namanya.

"Apa yang menarik minat saya untuk hafal al-Quran adalah saya mahu diri saya menjadi seperti maksud nama saya iaitu Hafiz.

"Apabila saya masuk Penjara Sungai Buloh semasa direman pada Mac 2020, saya belajar baca al-Quran dengan rakan (banduan) memandangkan bacaan saya tidak lancar," katanya.

Meskipun hampir terlepas peluang menyertai kelas tahfiz berkenaan, dia bersyukur apabila melepasi ujian yang disertainya pada saat-saat akhir.

"Setakat ini, saya baru hafal satu juzuk dan berharap dapat bergelar 'hafiz' sebelum keluar penjara pada November 2026 dengan menyertai kelas tahfiz ini.

"Dulu saya jahil dan sekarang saya mahu menjadi 'hafiz' kerana dengan cara itu saya dapat beri kelebihan untuk menabur bakti kepada ibu bapa dan keluarga yang saya khianati apabila melakukan kesalahan ini," katanya.

Hafiz dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan 10 sebatan atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah. Dia dijangka dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama enam tahun enam bulan selepas diberi pengurangan.

Difahamkan 20 pelajar Kelas Tahfiz Khairul Ummah Penjara Kajang dipilih menerusi temu bual serta ujian daripada 50 banduan yang memohon.

Antara kriteria ditetapkan adalah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun dengan mempunyai rekod akhlak serta disiplin baik selain pernah dilantik sebagai pembimbing rakan sebaya (PRS) banduan.

Kelas terbabit yang dijalankan setiap Isnin hingga Jumaat membabitkan empat tenaga pengajar daripada pihak pengurusan Penjara Kajang serta dua tenaga pengajar dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 4:02 PM