Gambar hiasan. FOTO BERNAMA
Gambar hiasan. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 4,086 individu ditahan menerusi Op Tapis Khas kerana disyaki terbabit pelbagai kesalahan dadah pada Isnin sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, semua yang ditahan terdiri daripada 1,928 penagih manakala 1,871 orang terbabit lain-lain kesalahan dadah, 193 orang yang dikehendaki dan 94 tokan dadah.

"Semua mereka yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 70 tahun. PDRM melakukan sebanyak 4,564 pemeriksaan di FELDA serta FELCRA, sekatan jalan raya terpilih, jeti nelayan dan haram, pasar borong dan taman rekreasi.

"Dalam operasi itu, polis turut merampas sebanyak 42 kilogram pelbagai jenis dadah, 702 liter juga pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM708,925,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan JSJN turut menyita pelbagai aset dianggar bernilai RM336,894.

"PDRM akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222 berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 9:40 PM