GANJA seberat 52 kg dianggarkan bernilai RM160,000 yang dirampas dalam sebuah kereta Perodua Beza. FOTO Ihsan Polis
GANJA seberat 52 kg dianggarkan bernilai RM160,000 yang dirampas dalam sebuah kereta Perodua Beza. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Hantar dadah selepas mendapat pesanan. Itu modus operandi sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang wanita di sekitar ibu negara.

Bagaimanapun kegiatan wanita berusia 45 tahun yang juga ibu kepada dua orang anak itu berakhir selepas diberkas di sebuah rumah di Nusajaya, Johor, Khamis lalu.

Ia susulan penahanan dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun di tempat letak kereta di Jalam Cemur, di sini, pada hari sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain berkata, ketiga-tiganya ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah NArkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN IPK Johor dalam operasi khas bermula jam 2 petang hingga 11.30 malam.

"Dalam serbuan pertama polis menahan dua lelaki terbabit dan merampas ganja seberat 52 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM160,000 dalam sebuah kereta Perodua Beza selain merampas sebuah kereta jenis Honda HR-V dan wang tunai RM485.

"Susulan ke atas maklumat serbuan itu, polis kemudian melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Nusajaya, Johor, sebelum menahan wanita terbabit yang juga seorang ahli perniagaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sindiket pengedaran dadah ini dikesan bergerak aktif sejak sebulan lalu dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai kawasan pengedaran dadah kepada pelanggan.

"Modus operandi sindiket ini adalah membuat penghantaran dadah kepada pelanggan dengan menggunakan kenderaan selepas mendapat pesanan.

"Dua lelaki yang ditahan itu bertindak sebagai penghantar manakala suspek wanita terbabit adalah perancang utama kumpulan ini dan menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama,"katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit direman selama tujuh hari sehingga 9 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

"Orang ramai boleh menyalurkan terus sebarang maklumat berkaitan dadah dengan menghubungi Hotline JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 5:14 PM