RAMPASAN dadah 4.56 kilogram bernilai RM61,104 dalam lima serbuan berasingan sekitar Pontian. FOTO Ihsan PDRM
RAMPASAN dadah 4.56 kilogram bernilai RM61,104 dalam lima serbuan berasingan sekitar Pontian. FOTO Ihsan PDRM
Izz Laily Hussein

Pontian: Polis menahan lima lelaki tempatan dan merampas 4.56 kilogram dadah bernilai RM61,104 dalam lima serbuan berasingan sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan jam 1 petang hingga 7 malam itu dijalankan pasukan tindakan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, lima lelaki berusia 18 hingga 36 tahun ditahan bersama-sama sejumlah dadah.

"Polis merampas 4.56 kilogram heroin bernilai RM61,104 dan dadah itu boleh digunakan oleh 22,800 penagih jika terlepas ke pasaran.

"Kita turut menyita dua motosikal bernilai RM13,500 dan keseluruhan rampasan serta sitaan dalam operasi khas ini berjumlah RM74,604," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah, namun dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya, modus operandi pengedaran dadah itu adalah suspek menjadi orang tengah mendapatkan bekalan daripada pembekal dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan dan dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak bulan lalu.

Katanya, semua suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya1952.

Sementara itu, beliau berkata, sejak 1 Januari lalu hingga semalam, JSJN Johor berjaya membuat tangkapan seramai 11,745 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

"Dalam tempoh yang sama, JSJN Johor berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.95 tan. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM12.54 juta dan turut disita harta berjumlah RM7.51 juta," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran dadah di kawasan mereka menerusi talian hotline JSJN 012-2087222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 4:57 PM