GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah dikesan mampu hidup mewah dan mengumpul kekayaan hasil aktiviti terlarang itu.

Ini terbukti apabila sejumlah RM79.25 juta aset milik sindiket itu disita Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, dengan RM9.06 juta berjaya dilucut hak mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sebanyak 69,648 kes dengan 81,706 orang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 serta Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, bagi tempoh sama tahun lalu pula, sebanyak 55,560 kes dan 66,889 tangkapan dilakukan.

"Sebanyak 10,464.20 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis, 2,394.91 liter cecair dadah, 69,132.69 kg daun ketum serta 44,809.30 liter air ketum dirampas membabitkan nilai rampasan RM262,355,571.95.

"Bagi tempoh sama tahun lalu, PDRM merampas sebanyak 15,397.61 kg dadah pelbagai jenis, 5,342.63 liter cecair dadah, 148,407.57 kg daun ketum dan 54,267.57 liter air ketum membabitkan nilai rampasan RM683,371,047.59," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, PDRM membongkar enam makmal memproses dadah dengan 18 orang ditahan manakala 10 makmal memproses bahan larangan itu diserbu dengan 51 tangkapan pada tempoh sama tahun lalu.

Katanya, seramai 997 orang turut ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sejak Januari hingga Jun tahun ini manakala 575 ditahan bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 1:54 PM