MOHD Kamarudin, gambar fail. FOTO NSTP
MOHD Kamarudin, gambar fail. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Rakyat negara ini mudah diperalatkan sindiket untuk menyeludup dadah ke luar negara kerana tawaran upah yang lumayan antara RM5,000 hingga RM10,000, dedah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din.

Mohd Kamaruddin berkata, mereka ini diperdaya dan dijadikan 'keldai dadah' atau drug mule , namun akhirnya ditahan pihak berkuasa di luar negara.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan kes tangkapan rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan keldai dadah ini di luar negara semakin meningkat dan membimbangkan.

"Seramai 77 rakyat negara ini ditahan di luar negara atas kesalahan penyeludupan dadah sejak 2021 sehingga November lalu.

"Daripada jumlah itu, seramai 32 orang ditahan pada 2021 diikuti 17 orang (2022), manakala 28 orang lagi ditahan bermula Januari hingga November lalu .

"Mereka ini ditahan di pintu masuk pelbagai negara destinasi," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, situasi ini amat membimbangkan dan masyarakat diingatkan lebih berhati-hati dan berwaspada supaya tidak terpedaya dengan sindiket dadah yang semakin licik.

"Pelbagai habuan tinggi ditawarkan mereka dalam laman sosial mencari mangsa untuk digunakan menyeludup dadah ke luar negara.

"Justeru, JSJN mengingatkan kepada masyarakat supaya dapat menghubungi hotline JSJN di talian 012-2087222 dengan kadar segera sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan atau keraguan berkenaan tawaran percutian percuma atau kerja di luar negara dan lain-lain tawaran dengan gaji lumayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 6:04 PM