Dr Ahmad Samsuri (tengah) beramah mesra bersama penduduk semasa berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Parlimen Kemaman di Kampung Geliga. FOTO GHAZALI KORI
Dr Ahmad Samsuri (tengah) beramah mesra bersama penduduk semasa berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Parlimen Kemaman di Kampung Geliga. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Isu pembangunan, pelaburan dan infrastruktur antara fokus calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut memberi tumpuan kepada projek-projek terbengkalai yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

Tidak menafikan jasa dan peranan Ahli Parlimen Kemaman terdahulu termasuk daripada parti lawan, Naib Presiden Pas itu berkata, terdapat beberapa perkara perlu ditambah baik bagi memastikan daerah Kemaman berdaya maju.

"Saya tahu bahawa pelbagai perkara telah dicapai di daerah Kemaman. Ahli Parlimen yang lalu telah melaksanakan tugas dengan sangat baik dan menjadi Ahli Parlimen membawa mesej daripada Kemaman ke Dewan Rakyat…itu tidak kita nafikan.

"Namun ada aspek-aspek yang perlu kita tambah baik seperti mahu memastikan penggunaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kemaman ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin (dan) ingin memperbesarkan Pelabuhan Kemaman dan pelbagai industri yang sedang 'beratur' mahu masuk Terengganu.

"Insya-Allah, kita akan susun dengan terbaik dan menjadikan Kemaman sebagai sebuah tempat yang sangat berdaya maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ziarah Markas Unit Daerah Mengundi (UDM) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, di sini.

Mengulas lanjut mengenai projek terbengkalai, Ahmad Samsuri berkata, ia membabitkan dua kategori dengan paling banyak terbengkalai di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

"Kita tidak nafikan pelbagai masalah yang timbul tetapi memerlukan kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Bila kita ada suara, kita boleh mainkan peranan secara langsung sama ada di Parlimen atau pun di pihak kementerian yang berkaitan," katanya.

Pada PRK kali ini, Ahmad Samsuri akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam saingan satu lawan satu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 1:34 PM