PAS yang hadir pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Parlimen Kemaman. FOTO akrib NSTP
PAS yang hadir pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Parlimen Kemaman. FOTO akrib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan turun ke Kemaman bagi membantu kempen calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Dr Mahathir yang juga penasihat tidak rasmi kepada empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) dijangka menyertai beberapa nama besar PN ketika program 'grand finale' pada 1 Disember depan.

Timbalan Yang Dipertua Pas Kemaman Hanafiah Mat berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga akan berada di Kemaman untuk menyertai program sama.

"Semua pemimpin PN akan berada di Kemaman untuk membantu (dan) Tun (Dr Mahathir) dijangka turun pada malam terakhir sebelum hari pengundian.

"Kita sedang merancang untuk menganjurkan acara 'grand finale' di Padang Astaka Kemaman," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengiringi Ahmad Samsuri melakukan walkabout di sebuah kompleks beli-belah di sini.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu itu sudah bertemu kira-kira 80 peratus jentera pilihan raya di seluruh Parlimen Kemaman.

"Walaupun cuaca hujan sejak beberapa hari lalu, jentera pilihan raya kita tetap turun padang malah mereka ini sebenarnya sudah digerakkan dua minggu sebelum penamaan calon untuk bertemu pengundi dan kita menjangkakan kempen minggu kedua akan lebih menarik," katanya.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan Pas

BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi manakala Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi parti itu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 12:40 PM