AHMAD Samsuri bersama pengunjung ketika Walkabout di Mesra Mall Kemasik. FOTO Facebook Dr Ahmad Samsuri
AHMAD Samsuri bersama pengunjung ketika Walkabout di Mesra Mall Kemasik. FOTO Facebook Dr Ahmad Samsuri
Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Ahli dan penyokong PAS diingatkan tidak terlalu selesa dan yakin dengan kekuatan parti sebaliknya perlu bekerja keras mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman.

Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jentera parti perlu mengekalkan momentum dan bekerja sehingga saat yang terakhir dalam tempoh kempen yang hanya berbaki sembilan hari lagi.

"Kita kena anggap bahawa ini (PRK) adalah sama seperti pilihan raya lain yang kita hadapi (dan) setiap kali pilihan raya (yang) kita hadap selama puluhan tahun sejarah perjuangan PAS, kita hadapinya dengan penuh serius.

"Tidak kira sama ada kita ada potensi menang atau pun tidak, kita anggap ia adalah sama, gerak kerjanya tetap sama dan cabaran yang ada pada kita hari dalam pilihan raya kecil ini tentulah lebih besar.

"(Perlu diingatkan), kita belum lagi dikira pemenang sehingga kita sampai ke garis penamat, jadi tentulah kita kena bergerak dengan begitu cermat dan berstrategi, InshaAllah, sama-sama kita mencapai kemenangan di garis penamat pada 2 Disember (hari pengundian)," katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PRK Parlimen Kemaman di Dewan Sivik Pekan Kijal di sini malam tadi.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satuantara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN mempertaruhkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi parti itu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 10:33 AM