Individu yang ditahan AADK kerana disyaki terbabit dalam penagihan dadah dalam pemeriksaan Ops Khas Kenderaan Komersil di Plaza Tol Jitra. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Individu yang ditahan AADK kerana disyaki terbabit dalam penagihan dadah dalam pemeriksaan Ops Khas Kenderaan Komersil di Plaza Tol Jitra. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Seorang pemandu treler memberi alasan hanya mengambil dadah jenis syabu sekadar suka-suka kerana memberinya 'tenaga" ketika memandu kenderaan berat itu dari Bukit Kayu Hitam ke Pulau Pinang.

"Saya ambil (syabu) saja-saja saja, rasa kuat sikit bawa treler dari Bukit Kayu Hitam ke Pulau Pinang," katanya ketika ditahan pihak berkuasa pada Ops Khas Kenderaan Komersil dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama pelbagai agensi lain, kelmarin.

Lelaki berusia 30-an yang masih bujang itu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan, jam 9.30 malam.

Tindakannya memandu treler disyaki di bawah pengaruh dadah itu juga dipersoalkan penguat kuasa JPJ memandangkan ia mengundang kemalangan selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Namun, lelaki itu mendakwa masih 'steady' dan tidak lalok malah berupaya memandu sehingga ke Pulau Pinang.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, pemandu treler terbabit antara empat individu yang ditahan kerana positif Methamphetamine atau syabu.

Beliau berkata, pada operasi itu, pihaknya menahan empat pemandu kerana disyaki memandu di bawah pengaruh Methamphetamine.

"Jika mereka ini (pemandu kenderaan berat) dibenarkan berada di jalan raya, bagaimana risiko yang perlu ditanggung pengguna jalan raya lain.

"Dengan bantuan AADK, pemandu yang menggunakan dadah ini dapat ditahan," katanya pada sidang akhbar selepas operasi selesai.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 2:27 PM