ANGGOTA AADK melakukan pemeriksaan air kencing terhadap pemandu bas ekspres.
ANGGOTA AADK melakukan pemeriksaan air kencing terhadap pemandu bas ekspres.
myMetro

Kuala Lumpur: Mengejutkan apabila bilangan pemandu bas ekspres yang dikesan menagih dadah meningkat lebih sekali ganda tahun ini berbanding tahun lalu.

Difahamkan seramai 12 pemandu bas ekspres dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sepanjang Operasi Aidilfitri 2017 di 28 terminal bas utama seluruh negara.

Operasi bersepadu bermula 18 Jun sehingga Ahad lalu mewajibkan pemandu bas ekspres menjalani ujian saringan air kencing setiap tiga hari sekali bagi memastikan mereka bebas pengaruh dadah.

Pengarah Penguatkuasaan Dan Keselamatan AADK, Zainudin Abdullah berkata, empat pemandu bas ekspres ditahan di Kedah, tiga di Perak, masing-masing dua di Selangor dan Sabah serta seorang di Perlis dan Pulau Pinang.

Katanya, walaupun jumlah pemandu bas yang didapati positif tidak ramai, statistik menunjukkan peningkatan berbanding lima kes pada tahun 2016 dan enam kes pada tahun 2015.

“AADK memandang kes serius pemandu bas ekspres yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah berikutan mereka bertanggungjawab membawa jumlah penumpang yang ramai sekali gus berdepan risiko kemalangan maut.

“Operasi bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran kepada pemandu pengangkutan awam dan pengusaha syarikat pengangkutan supaya tidak menggaji mereka yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, memandu di bawah pengaruh dadah amat berbahaya kerana ia bukan saja mendedahkan risiko kemalangan maut kepada pemandu itu sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 6:35 AM