MOHAMMAD Yusoff pada sidang media penutupan Ops HRA 2024 JPJ Perak di Jalan Sultan Iskandar, di sini, malam tadi. FOTO L Manimaran
MOHAMMAD Yusoff pada sidang media penutupan Ops HRA 2024 JPJ Perak di Jalan Sultan Iskandar, di sini, malam tadi. FOTO L Manimaran
Muhammd Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menahan seorang pemandu bas ekspres selepas lelaki itu didapati positif methamphetamine menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2024 bermula 1 sehingga semalam.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, lelaki berusia 38 tahun itu diarahkan menjalani ujian air kencing ketika pemeriksaan di depoh terminal bas dijalankan bersama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Bas Amanjaya dekat Meru Raya, di sini, beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

"Pemeriksaan dijalankan jam 11 pagi dan pemandu bas itu ditahan serta diserahkan kepada AADK untuk siasatan lanjut.

"Lesen memandu serta Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) pemandu itu pula ditahan JPJ," katanya dalam sidang media penutupan Ops HRA 2024 JPJ Perak di Jalan Sultan Iskandar, di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai Ops HRA 2024, Mohammad Yusoff berkata, sebanyak 10,009 notis saman dikeluarkan sepanjang tempoh operasi kepada pemandu serta pemilik kenderaan manakala 395 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan daripada keseluruhan sebanyak 56,157 kenderaan yang diperiksa.

Katanya, statistik menunjukkan jumlah kesalahan tertinggi ialah tiada lesen memandu iaitu sebanyak 2,780 kesalahan serta Lesen Kereta Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh, selain tiada perlindungan insurans (2,363 kesalahan).

Menurutnya, JPJ Perak juga membangkitkan kebimbangan berhubung trend kesalahan jalan raya membabitkan warga asing yang semakin serius terutama tiada lesen memandu seperti yang dicatatkan menerusi Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan.

Beliau berkata, menerusi Ops HRA kali ini, pihaknya menyita motosikal ditunggang warga asing membabitkan 45 kes.

"Kami melihat warga asing ini tidak mempunyai lesen pemanduan yang betul walaupun mereka mendakwa mempunyai lesen memandu antarabangsa (Permit Memandu Antarabangsa). Namun yang kita tangkap ini memang tiada lesen memandu.

"Dia melihat penguatkuasaaan kita lemah tetapi di pihak JPJ Perak, kami memandang serius mana-mana pemandu yang tidak mempunyai lesen yang mana kita akan tangkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:16 PM