Fazrik Kamarudin


TRELER membawa muatan setengah tan dadah disyaki syabu yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Sabtu lalu dipercayai dalam perjalanan ke Pelabuhan Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan awal mendapati sebahagian dadah disyaki syabu 569.5 kilogram itu adalah untuk diseludup ke negara luar.

Katanya, susulan rampasan treler itu, tiga individu disyaki ahli sindiket ditahan.

“Tangkapan pertama seorang lelaki berusia 40 tahun di kawasan Rehat Dan Rawat (RNR) Taiping yang juga pemandu treler berkenaan, turut dirampas dadah disyaki syabu seberat 569.5 kilogram.

“Dalam serbuan berasingan, kita berjaya menahan lelaki berusia 49 tahun di sebuah premis di Ipoh manakala individu ketiga lelaki berusia 39 tahun ditahan di Plaza Tol Bidor.

“Dalam ketiga-tiga serbuan kita menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan wang tunai RM1,768,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Fuzi berkata, semua suspek direman tujuh hari sehingga 19 Januari ini.

“JSJN Bukit Aman masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga masih menyiasat bagi mengenalpasti dari mana dadah itu diperolehi,” katanya

Kelmarin polis berjaya merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat ratusan kilogram dalam sebuah treler ketika satu operasi di Hentian Taiping, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.

Kenderaan berat itu ditahan melalui sekatan jalan di hentian berkenaan dengan bantuan pasukan polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) jam 4 petang.

Sumber berkata, lori kontena itu dalam perjalanan menuju arah utara dan diekori sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman susulan dipercayai membawa muatan dadah jenis syabu.

Hasil pemeriksaan polis menemui beberapa kotak di dalam kontena itu yang didapati mengandungi dadah dipercayai syabu dianggarkan seberat 500 kilogram.

Berita berkaitan

Syabu dalam treler

Pintas kontena bawa syabu RM15j

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 2:41 PM