Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Sitiawan: Helah seorang pemandu lori yang mencampurkan air mineral dengan air kencingnya dalam pemeriksaan ketika operasi bersepadu kenderaan perdagangan di Kilometer 3 Sitiawan-Kampung Acheh di sini, hari ini, tak menjadi.

Lelaki itu gagal memperdaya anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung apabila tindakannya itu berjaya dikesan dan akhirnya dia mengaku mengambil dadah.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki terbabit antara dua individu yang ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

Menurutnya, operasi yang bermula pada 9 pagi itu turut mendapat kerjasama AADK, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga lori itu ditahan selepas ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif methamphetamine.

"Bagaimanapun, tiada rampasan bahan terlarang itu daripada mereka dan kedua-dua lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983," katanya ketika sidang media di lokasi operasi.

Nor Omar berkata, operasi itu memeriksa 512 kenderaan dan mengeluarkan 63 saman atas pelbagai kesalahan membabitkan 29 saman trafik, 25 saman JPJ dan empat kompaun serta lima notis daripada JAS.

Katanya, sebanyak 16 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kenderaan berat perdagangan.

"Lesen tamat tempoh dan membawa lebih muatan mencatatkan kesalahan tertinggi dalam operasi ini.

"Operasi bertujuan menguatkuasakan undang-undang meliputi pemeriksaan fizikal kenderaan berat, pelepasan asap berlebihan dan mengesan pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah," katanya.

NOR OMAR (dua dari kanan) memeriksa lesen memandu pemandu lori dalam operasi bersepadu kenderaan perdagangan di Kilometer 3 Sitiawan-Kampung Acheh, Sitiawan. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
NOR OMAR (dua dari kanan) memeriksa lesen memandu pemandu lori dalam operasi bersepadu kenderaan perdagangan di Kilometer 3 Sitiawan-Kampung Acheh, Sitiawan. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 2:01 PM