GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Jumlah terhad yang diterima daripada pembekal menyebabkan bekalan beras putih tempatan (BPT) masih kurang di pasaran.

Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya di sini, hari ini mendapati kebanyakan premis kehabisan bekalan beras itu berbanding beras import yang masih berbaki.

Pengurus sebuah pasar raya tempatan, Khairul Mat Nor, 37, mengakui BPT diterima dalam jumlah terhad, malah kebanyakan pelanggannya akan mencari BPT berbanding beras import.

"Stok bekalan beras memang setiap minggu akan dihantar pembekal tetapi paling banyak beras import.

"Apabila kita keluarkan semua stok beras tempatan, memang akan habis dibeli oleh pelanggan.

"Kalau dulu, ketika awal-awal isu beras, ramai pelanggan mengeluh sebab beras tempatan selalu tak ada... tetapi sekarang bila tahu stok habis dan tiada di rak, mereka akan terus balik.

"Mungkin mereka cari (BPT) di tempat (kedai) lain pula," katanya ketika ditemui.

Ketika tinjauan, didapati kebanyakan kedai mempunyai banyak bekalan beras import yang dijual serendah RM40 bagi 10 kilogram (kg), manakala BPT tidak kelihatan.

Sementara itu, pekerja pasar raya besar yang hanya mahu dikenali sebagai Linda berkata, beras tempatan dijual cepat habis kerana menjadi pilihan utama pelanggan.

"Pelanggan memang selalu akan tanya dulu beras tempatan ada atau tidak dan setiap hari kita akan keluarkan stok beras tempatan tetapi dalam tempoh singkat habis terjual," katanya.

Bagi peniaga runcit, Mohammad Afif, 34, sehingga kini dia mendapat stok bekalan beras tempatan yang sedikit daripada pembekal.

Menurutnya, pelanggannya pula akan membeli beras timbang bagi menggantikan beras tempatan sekiranya ia sukar diperoleh.

"Mereka beli (beras timbang) dalam satu.. dua kilogram sementara dapat beras tempatan.

"Memang sejak beras import naik harga, jarang yang cari beras import.. mereka tanya beras tempatan dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 2:27 PM