Minyak masak paket bersubsidi yang dijual satu paket untuk satu keluarga dengan harga Rm 2.90  yang terdapat di sebuah kedai runcit ketika tinjauan bekalan beras SST, beras putih tempatan dan minyak masak paket subsidi di kedai runcit sekitar Pantai Dalam, Kuala Lumpur. FOTO AHMAD UKASYAH
Minyak masak paket bersubsidi yang dijual satu paket untuk satu keluarga dengan harga Rm 2.90 yang terdapat di sebuah kedai runcit ketika tinjauan bekalan beras SST, beras putih tempatan dan minyak masak paket subsidi di kedai runcit sekitar Pantai Dalam, Kuala Lumpur. FOTO AHMAD UKASYAH
Minda RanggongSuhaila Khairie dan Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Peniaga dan pelanggan di sekitar bandar raya ini mengeluh berikutan kesukaran mendapatkan bekalan beras putih tempatan dan minyak masak bersubsidi peket satu kilogram.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai runcit dan pasar raya mini di sekitar Ampang, Wangsa Maju dan Pantai Dalam mendapati berlaku kekurangan bekalan beras super spesial tempatan (SST) dan bekalan minyak paket.

Peniaga kedai runcit di Ampang, Steven Koh, 62, berkata dia tidak mengambil stok beras putih tempatan kerana mahu menghabiskan stok beras import.

Katanya, bagaimanapun pelanggannya kecewa apabila gagal mendapatkan beras SST kerana harga beras import semakin meningkat kebelakangan ini.

"Dulu beras import dijual RM30.80 bagi pek 10 kilogram manakala manakala beras SST pada harga RM26. Tetapi harga beras import semakin naik menyebabkan pelanggan mencari beras SST, malangnya bekalan beras tempatan pula tiada," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit di Pantai Dalam dikenali Shaifuddin, 31, sudah sebulan dia tidak mendapat beras tempatan daripada pembekal.

"Selalunya saya tempah 10 hingga 15 kampit beras tempatan 10 kilogram setiap minggu. Sehingga hari ini bekalan beras tempatan tiada.

"Pembekal beritahu mereka tiada bekalan dan saya terpaksa menjual beras import sahaja," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di Wangsa Maju mendapati peniaga terpaksa menghadkan kuantiti minyak masak bersubsidi pek satu kilogram kepada pelanggan.

Peniaga dikenali sebagai Siti, 20-an, berkata sebelum ini dia menjual tiga paket minyak masak kepada pelanggan namun kini dihadkan kepada satu atau dua sahaja.

Ini kerana katanya, pembekal hanya membekalkan dua kotak minyak paket dalam masa satu hari untuk kedainya.

"Oleh kerana bekalan sedikit, saya terpaksa menjual dua paket sahaja kepada seorang pelanggan.

"Kadang-kadang saya juga terpaksa menunggu bekalan daripada pihak pembekal, itu pun kalau ada bekalan. Agak susah nak dapatkan bekalan," katanya.

Tindakan sama juga diambil peniaga, Syafiq, 30-an yang berkata dia turut menerima dua kotak minyak masak daripada pembekal.

"Saya terpaksa menjual minyak masak paket sebanyak satu paket untuk satu individu sahaja memandangkan pembekal hanya membekalkan dua kotak minyak paket ke kedai saya dalam masa satu hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 3:36 PM