PEGAWAI dan kakitangan FAMA memeriksa bekalan BPT sebelum diedarkan Jumaat lalu. FOTO Baharom Bakar
PEGAWAI dan kakitangan FAMA memeriksa bekalan BPT sebelum diedarkan Jumaat lalu. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengedarkan 2.4 tan metrik beras putih tempatan (BPT) bagi membantu kebergantungan pengguna kepada beras import.

Pengarah FAMA negeri, Muhamad Fadlee Hassan berkata, BPT yang diterima daripada ibu pejabat diedarkan ke Agrobazaar Rakyat (ABR) dan Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) di seluruh negeri untuk dipasarkan.

"Kali terakhir kita menerima bekalan BPT sebanyak 300 kampit yang setiap satunya mengandungi 10 kilogram (kg) Jumaat lalu.

"Bermula Januari lalu, kita sudah mengedarkan sebanyak 2,400 kampit BPT yang setiap kampit mengandungi 10 kg ke seluruh ABR dan AKR di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Fadlee berkata, FAMA negeri menerima bekalan BPT berjumlah keseluruhan sebanyak 2.4 tan metrik yang dihantar pihak ibu pejabat sebanyak lapan kali.

Katanya, bekalan BPT diterima terus dibekalkan kepada ABR dan AKR di seluruh negeri.

"BPT hanya dijual pada harga RM26 yang setiap satunya mengandungi 10 kg. Kita juga turut menjual BPT ditapak pasar tani diseluruh negara," katanya.

Difahamkan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri turut mendapat bekalan BPT untuk dijual kepada pengguna.

Sementara itu, tinjauan ke beberapa pasar raya dan kedai runcit di pasar awam mendapati tiada BPT dijual.

Seorang pengusaha kedai runcit yang hanya dikenali Wan Hayati, berkata pihaknya tidak mendapat bekalan BPT sejak pertengahan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 10:56 AM