TINJAUAN beras putih tempatan di kedai runcit di daerah Kuala Nerus. FOTO Faizul Azlan Razak
TINJAUAN beras putih tempatan di kedai runcit di daerah Kuala Nerus. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: "Kali terakhir saya menerima bekalan beras putih tempatan (BPT) pada Jun lalu dan sehingga hari ini saya belum perolehi bekalan baru," kata peniaga kedai runcit, Nor Aziah Nor@Aziz, 45.

Nor Aziah berkata, sekalipun harga agak mahal, dia tiada pilihan apabila terpaksa menjual beras putih import kepada pelanggan.

Menurutnya, sebelum ini premisnya menjual BPT berharga bawah RM30 sekampit untuk 10 kilogram (kg), tetapi disebabkan kesukaran memperoleh bekalan memaksanya tidak menjual lagi beras berkenaan.

"Saya ada juga memohon mendapatkan beras keluaran anak syarikat kerajaan negeri, Beras Ganu namun sehingga kini masih belum mendapatkan bekalan.

"Sekurang-kurangnya apabila memperoleh Beras Ganu, saya dapat membantu melegakan pelanggan membeli dengan harga RM26 untuk 10kg," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, hari ini.

Katanya, beras paling murah yang terdapat di kedainya berharga RM39 sekampit iaitu beras putih import untuk seberat 10 kg.

"Walaupun keberatan, pelanggan tidak ada pilihan. Cuma, saya kasihan kepada pelanggan terutama golongan yang kurang berkemampuan," katanya.

Seorang pengguna, Samsiah Jusoh, 50, mengakui sukar mendapatkan beras putih tempatan di mana-mana kedai runcit mahupun pasar raya.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya menggunakan BPT kerana harga yang berpatutan, tapi sekarang sedikit terasa apabila terpaksa membeli beras import.

"Jika ada beras putih tempatan sekalipun, saya tidak sanggup bersesak dan beratur panjang dengan orang ramai.

"Saya harap isu beras ini dapat diselesaikan dengan segera bagi meringankan beban pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 2:14 PM