Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan dana RM2.28 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan pindaan dua pertuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan penyalahgunaan kedudukan dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini dengan meminda jumlah wang dengan pengurangan RM5,360,065 kepada RM2.27 bilion.

Kamal Baharin ketika berhujah berkata, pindaan tiga pertuduhan itu sama sekali tidak akan memprejudis atau merugikan tertuduh kerana Najib akan diberi setiap peluang untuk membela diri.

Katanya, permohonan pindaan itu juga selaras dengan prinsip undang-undang dan tidak memudaratkan tertuduh.

"Berdasarkan hujah dikemukakan, permohonan untuk meminda pertuduhan perlu dibenarkan kerana dilakukan untuk memberi perincian yang lebih jelas mengenai pertuduhan terhadap tertuduh.

"Pindaan tuduhan dibenarkan dalam semua kes melainkan memang wujud prejudis dan bukannya kemungkinan ada prejudis.

"Pihak pembelaan juga belum selesai pemeriksaan mereka terhadap SP47 (saksi pendakwaan ke-47 yang juga penganalisis Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Adam Ariff Mohd Roslan) dan beberapa saksi lain.

"Dalam apa jua keadaan, Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) membenarkan mana-mana saksi dipanggil semula untuk pemeriksaan balas dengan lebih lanjut," katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pihak pendakwaan memohon pindaan bagi pertuduhan keempat berhubung salah guna kedudukan, manakala pertuduhan ke-10 dan ke-21 bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pindaan keempat itu, Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM44,570,920.70.

Berdasarkan dua lagi pertuduhan pindaan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM515,666,277.51 dan RM11,411,646.34.

Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah permohonan berkenaan.

"Permohonan ini adalah langkah serius dalam kes pendakwaan, kami perlu melihatnya secara berhati-hati," katanya.

Peguam itu kemudian mencadangkan prosiding bersambung dengan hujahan isu dokumen kes itu, sebelum Sequerah membenarkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 1:04 PM