AZIZ menyusun surat khabar untuk dijual kepada pelanggan ketika tinjauan di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
AZIZ menyusun surat khabar untuk dijual kepada pelanggan ketika tinjauan di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Kuala Lumpur: Biarpun sudah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM 210 juta berhubung penyelewengan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd kelmarin, namun ia bukan pengakhiran berikutan Datuk Seri Najib bakal berdepan empat lagi perbicaraan kes lain selepas ini.

1. Rasuah 1MDB RM2.28 bilion

Pada 20 September 2018, bekas perdana menteri itu turut dikenakan 25 pertuduhan dalam perbicaraan membabitkan dana RM2.28 bilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi kesalahan didakwa dilakukan antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Selain itu, beliau berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pertuduhan itu membabitkan sembilan pertuduhan menerima RM2.08 bilion, tujuh pertuduhan memindahkan RM2.19 bilion dan lima pertuduhan menggunakan RM22.65 juta.

Perbicaraan masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pada 23 Jun, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah, ada 20 lagi baki saksi sebelum pihak pendakwaan menyelesaikan kes.

Sebaik sahaja peringkat pendakwaan kes itu selesai, hakim akan mendengar hujahan kedua-dua pihak untuk memutuskan sama ada terdapat kes prima facie terhadap Najib.

Jika diarah membela diri, Najib ada pilihan iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan, memberi pernyataan tidak bersumpah tanpa disoal balas pihak pendakwaan atau memberi keterangan di bawah sumpah atau membenarkan pihak pendakwaan menyoal balasnya.

2. Pecah amanah RM6.6 bilion babitkan Tan Sri Mohd Irwan

Selain itu, Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah turut berdepan enam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM6.64 bilion dana kerajaan untuk pembayaran kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34.

IPIC, dana kekayaan negara Abu Dhabi, adalah penjamin bersama dua bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion (RM15.71 bilion).

Perbicaraan sepatutnya dijadualkan pada September dan Oktober 2021 dilapangkan bagi memberi laluan kepada dua perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib.

Ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab. Rahman memaklumkan saksi dan keterangan dikemuka pada perbicaraan kes itu sama dengan kes 1MDB.

3. Meminda laporan akhir audit 1MDB bersama Arul Kanda

Najib didakwa menyalahguna kuasa sebagai pegawai awam atas kapasiti sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu dalam mengubah laporan audit 1MDB yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu, Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib dalam dakwaan mengganggu laporan audit 1MDB pada pertemuan dengan pegawai Jabatan Audit Negara pada 24 Februari 2016.

Perbicaraan ini juga berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan perbicaraan bersambung sejak 18 Ogos 2022.

4. Pengubahan wang haram RM27 juta

Berdasarkan fakta kes, bekas perdana menteri keenam itu bakal berdepan tiga lagi pertuduhan tambahan berhubung SRC International yang belum didengari di mahkamah.

Ia membabitkan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Najib didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM27 juta, RM10 juta dan RM10 juta yang juga hasil aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan di AmIslamic Bank Bhd, Bangunan Kumpulan Ambank, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan asal pada bulan Mei lalu ditangguh ke Ogos 2022. Kes disiasat mengikutr Seksyen 4(1)(a) AMLATFA 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 9:00 AM