Datuk Seri Najib Razak, hadir diiringi pegawai penjara ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datuk Seri Najib Razak, hadir diiringi pegawai penjara ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan dihadapi Datuk Seri Najib Razak membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiga pertuduhan itu membabitkan dua kesalahan pengubahan wang haram dan satu tuduhan predikat iaitu penyalahgunaan kuasa.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati permohonan pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan itu tidak mempunyai mala fide (niat jahat) selain tidak akan memprejudiskan tertuduh.

"Pindaan dibuat berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-47, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan dan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pencegahan Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min (PW48). Pihak pendakwaan berhak meminda pertuduhan sebelum menutup kes mereka," katanya.

Sequerah berkata, kedua-dua saksi itu mempunyai pengetahuan khusus mengenai jejak wang khususnya jumlah wang diterima dalam akaun bank tertuduh sama ada ratifikasi sepenuhnya atau sebahagian atau hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Dalam keterangan kedua-dua saksi ini, didapati sejumlah wang adalah daripada sumber yang tidak diketahui dan oleh itu tidak boleh ditetapkan dengan pasti sebagai hasil yang menyalahi undang-undang dengan merujuk kepada pertuduhan predikat keempat," kata hakim.

Susulan keputusan itu, mahkamah kemudian memerintahkan tiga pertuduhan yang dipinda dibacakan terhadap Najib dan bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pindaan itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menerima beberapa dokumen bank yang dikaitkan dengan keterangan Foo sebagai bukti dalam kes itu.

Pada 24 Oktober lalu, pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka ingin meminda salah satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa Najib dan dua daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram, berikutan keterangan dua saksi itu.

Pendakwaan memohon pindaan bagi tuduhan keempat berhubung tuduhan salah guna kedudukan dan tuduhan ke-10 serta ke-21 bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Bagi tuduhan keempat, menyatakan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dituduh menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM44.9 juta dan pendakwaan mahu meminda jumlah berkenaan kepada RM44,570,920.70.

Bagi dua lagi tuduhan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM652.6 juta dan RM12.4 juta dan pendakwaan memohon meminda jumlah itu masing-masing kepada RM515.7 juta dan RM11.4 juta.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta perbicaraan dilapangkan hari ini kerana dimaklumkan anak guamnya masih tidak sihat selepas dijangkiti Covid-19 minggu lalu.

"Anak guam saya memaklumkan pagi ini bahawa dia masih tidak sihat 100 peratus (lebih baik) dan atas pertimbangan baik Yang Arif untuk berehat dan memulakan perbicaraan pagi esok.

"Dua daripada peguam dalam pasukan saya juga dijangkiti Covid-19 dan kami semua akan melakukan ujian pada sebelah malam untuk memastikan tiada seorang pun daripada kami positif," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar tidak membantah permohonan itu.

Perbicaraan di hadapan Sequerah akan disambung semula pagi esok dengan pemeriksaan balas Foo.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 12:23 PM