Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 November depan, untuk membuat keputusan berhubung permohonan pihak pendakwaan bagi meminda tiga pertuduhan dihadapi Datuk Seri Najib Razak, membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pertuduhan itu berhubung dua kesalahan pengubahan wang haram dan satu tuduhan predikat iaitu penyalahgunaan kuasa.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, memutuskan tarikh itu selepas peguam bela bekas Perdana Menteri berkenaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, meminta diberi lebih banyak masa untuk menyediakan fakta menyeluruh berkaitan permohonan pindaan terbabit.

"Selepas membuat keputusan, kita boleh teruskan dengan ACP Foo (pemeriksaan balas terhadap Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner (ACP) Foo Wei Min).

"Atas alasan dikemukakan, prosiding hari ini dilapangkan," katanya.

Pada tarikh sama, Sequerah juga akan membuat keputusan berhubung kebolehterimaan beberapa dokumen bank dimohon pihak pendakwaan.

Kebolehterimaan dokumen itu dikaitkan dengan keterangan Foo yang dibantah pihak pembelaan Najib.

Terdahulu, Muhammad Shafee berkata pihaknya ketika ini mengumpul fakta berkaitan permohonan pindaan.

Beliau berkata pasukannya berusaha membuat ringkasan, namun mendapati saksi seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman serta bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, perlu diambil kira sebelum membuat fakta menyeluruh.

"Kami mohon diberi masa untuk menyiapkannya pada hari ini dan hujung minggu.

"Mohon prosiding hari ini dilapangkan untuk membolehkan kami mengambil tindakan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, tidak membantah permohonan Muhammad Shafee kerana memerlukan persediaan membuat hujahan lanjut.

"Saksi kami, ACP Foo hadir hari ini, namun ada sijil cuti sakit (MC) kerana sakit gout.

"Atas sebab itu, kami tidak boleh meneruskan prosiding dengan saksi itu," katanya.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Mengenai pertuduhan salah guna kuasa, pendakwaan mahu meminda jumlah RM49.9 juta kepada RM44.6 juta, selain pindaan tuduhan pengubahan wang haram masing-masing membabitkan RM652.6 juta kepada RM515.7 juta serta RM12.4 juta kepada RM11.4 juta.

Semalam, Muhammad Shafee meminta pihak pendakwaan supaya mengekalkan atau menarik balik tiga pertuduhan itu berbanding memindanya.

Katanya, permohonan pindaan dibuat pada peringkat akhir perbicaraan menyebabkan ia tidak adil kepada tertuduh, selain pendakwaan tidak seharusnya mengubah pendirian mereka.

Kamal Baharin pula dilaporkan berkata, pindaan itu sama sekali tidak akan memprejudis atau merugikan tertuduh kerana bekas Perdana Menteri itu akan diberi setiap peluang untuk membela diri.

Permohonan pindaan itu juga dikatakan selaras dengan prinsip undang-undang dan tidak memudaratkan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 1:13 PM