NAJIB diiringi pegawai penjara pada perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
NAJIB diiringi pegawai penjara pada perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu lebih RM4 juta dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sembilan tahun lalu.

Penganalisis Bank Negara, Adam Ariff Mohd Roslan, 29, memberi keterangan hari ini bahawa Blackrock Commodities (Global) Ltd memindahkan £750,000 (atau RM4,093,500 mengikut kadar tukaran wang ketika itu) pada 19 Jun 2014.

Saksi pendakwaan ke-47 itu memberitahu mahkamah, pemeriksaan penyata bank dan rekod akaun 880 AmPrivate-Banking-1MY Najib di AmBank menunjukkan pemindahan kredit dan sumber dana.

Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Adam Ariff berkata, keterangan bahawa penyata akaun AmBank tertuduh pada 23 Jun 2014 menunjukkan aliran masuk £750,000 dengan pelanggan yang memesan adalah Blackrock dan bank yang memesan adalah DBS.

Sebelum ini, Adam memberi keterangan bahawa akaun Najib menerima sejumlah RM2.28 bilion dana 1MDB antara 2011 dan 2014, dengan pecahan termasuk hari ini ialah 'Putera Faisal' dari Arab Saudi memindahkan AS$20 juta (RM60.6 juta pada masa itu) pada 2011; syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners memindahkan AS$30 juta (RM90 juta) pada 2012; dan Tanore Finance Corporation memindahkan AS$681 juta (RM2,081,476,926) masuk ke akaun tertuduh pada 2013.

Pendakwa raya sebelum ini berhujah bahawa Tanore, Blackstone dan Blackrock dimiliki oleh ahli perniagaan, Eric Tan yang didakwa sekutu rapat ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Perbicaraan dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 1:10 PM