NAJIB diiringi pegawai penjara hadir pada perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
NAJIB diiringi pegawai penjara hadir pada perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini, diberitahu ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low membuka akaun bank Switzerland untuk syarikatnya, Good Star Limited tiga bulan sebelum menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$700 juta (RM2.28 bilion).

Maklumat itu didedahkan dalam keterangan penganalisis Bank Negara (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan, 29, ketika perbicaraan rasuah membabitkan dana 1MDB bernilai RM2.28 billion yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata, semua dokumen menunjukkan bahawa akaun Good Star dibuka oleh Jho Low pada 11 Jun 2009 dan dana AS$700 juta terbabit diterima pada 30 September tahun sama.

Terdahulu, pihak pendakwaan mendakwa AS$700 juta daripada AS$1 bilion dana 1MDB yang dimaksudkan untuk usaha sama dengan Petrosaudi International Limited (PSI) dipindahkan kepada Good Star yang dibentangkan oleh pihak tertentu sebagai anak syarikat PSI.

"Menurut borang pembukaan akaun di sini, ia menyatakan bahawa akaun Good Star dan pemiliknya ialah Low Taek Jho menandatangani pada 9 Jun 2009 sebagai pelanggan," kata penganalisis bank pusat itu kepada Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar ketika pemeriksaan utama, hari ini.

Sebelum ini, siasatan BNM pada awal 2015 mendapati AS$700 juta dana 1MDB dialihkan ke akaun luar pesisir yang dikaitkan dengan Jho Low.

Saksi pendakwaan ke-46, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, bank pusat itu menjalankan siasatan, berikutan kegagalan 1MDB memberikan jawapan mengenai apa yang berlaku kepada dana yang dihantar ke luar negara pada 2009.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, mengapa BNM mengambil masa bertahun-tahun untuk menyedari bahawa AS$700 juta dana yang bertujuan untuk usaha sama antara 1MDB dan PSI dipindahkan kepada Good Star, Zeti berkata, itu adalah kerana BNM perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada pengawal selia luar negara yang mengambil masa.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 5:31 PM