MUHAMMAD Shafee. FOTO NSTP.
MUHAMMAD Shafee. FOTO NSTP.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, adalah munasabah untuk Datuk Seri Najib Razak tidak mengetahui sumber dana yang masuk ke dalam dua akaun peribadinya kerana Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri mengambil masa enam tahun untuk mengenal pasti jejak aliran wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata malah Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1MDB, Adam Ariff Mohd Roslan, dalam keterangannya menyatakan beliau mengambil masa dua tahun untuk memperincikan jejak aliran dana berkenaan.

Muhammad Shafee berhujah, pembelaan bekas perdana menteri itu ialah dana terbabit pemberian daripada Raja Arab Saudi, Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz.

"Jika institusi cemerlang seperti BNM mengambil masa enam tahun dan unit risikan mengambil masa dua tahun untuk memetakan jejak wang, adalah munasabah untuk Najib tidak mengetahui sumber dana itu," katanya.

Bagaimanapun, Adam Ariff yang disoal balas oleh Muhammad Shafee, pada sesi pemeriksaan balas, berkata beliau tidak boleh mengulas mengenainya.

Bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam keterangan beliau sebelum ini, berkata selepas enam tahun pihak berkuasa mengetahui dana AS$700 juta milik 1MDB yang sepatutnya dibayar bagi projek usaha sama, sebaliknya dipindahkan kepada entiti yang salah.

Beliau berkata, pemindahan dana itu yang keseluruhannya berjumlah AS$1 bilion didakwa 1MDB bertujuan bagi pemerolehan 40 peratus saham dalam projek usaha sama (JV) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Katanya, pemindahan itu dibuat dalam dua peringkat di mana pembayaran sebanyak AS$700 juta, sebaliknya dimasukkan ke dalam syarikat dimiliki sepenuhnya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, pada 2009 iaitu Good Star Limited dan AS$300 juta dipindahkan kepada syarikat usaha sama.

Sementara itu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, beliau akan menyambung menyoal balas Adam Ariff pada sebelah petang esok kerana menghadiri kes lain pada sesi pagi di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan prosiding boleh bersambung sebelah pagi dengan mendengar keterangan saksi baharu.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar kemudian memaklumkan pendakwaan akan memanggil saksi pendakwaan ke-48, iaitu pegawai penyiasat untuk memberikan keterangan hari ini.

Difahamkan, saksi itu ialah Asisten Komisioner Foo Wei Min, yang ketika kejadian adalah Ketua Pasukan Penyiasat Jenayah Anti Pengubahan Wang Haram Bukit Aman.

Najib, 70, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 5:57 PM