Muhammad Shafee mewakili Najib hadir untuk perbicaraan kes rasuah membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Muhammad Shafee mewakili Najib hadir untuk perbicaraan kes rasuah membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini mendengar cadangan peguam bela Datuk Seri Najib Razak, mengenai bagaimana pengurusan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memperdayakan bekas perdana menteri untuk memasuki perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Dalam prosiding itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan cadangan kepada saksi pendakwaan ke-13, iaitu bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, bahawa beberapa ahli pengurusan IMDB memperdayakan Najib dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat dengan mengemukakan cadangan kertas kerja usaha sama yang terperinci.

Menurut Muhammad Shafee, mereka yang terbabit dalam menyediakan kertas kerja berkenaan termasuklah bekas peguam syarikat Jasmine LooAi Swan: bekas Ketua Pegawai Kewangan Azmi Tahir; bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa kertas kerja terbabit adalah sangat terperinci dan praktikal sehingga mampu meyakinkan Lembaga Pengarah 1MDB, dan Ismee bersetuju dengan kenyataan itu.

Disoal peguam itu, sama ada perdana menteri (Najib) terbabit dalam penyediaan dokumen berkenaan yang bertujuan bagi menipu 1MDB, Ismee menjawab, "Saya tidak fikir mana-mana perdana menteri mempunyai masa untuk melakukannya."

Menurut Muhammad Shafee, Shahrol Azral dalam keterangan sebelum ini berkata beliau diarahkan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low untuk menyediakan dokumen terbabit (melalui arahan daripada Najib).

Sementara itu, Ismee bersetuju bahawa Najib dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB tidak mempunyai sumber yang diperlukan untuk mengesahkan bahawa maklumat yang dikemukakan oleh pengurusan IMDB dalam sesi taklimat kepada mereka adalah betul atau sebaliknya.

Saksi juga mengesahkan bahawa beliau tidak mengetahui kandungan maklumat yang dikemukakan oleh pengurusan kepada Najib dan sama ada ia adalah perkara sama yang dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah sebelum dokumen itu ditandatangani.

Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika membacakan kenyataan pembukaan pada Ogos 2019, berkata satu usaha sama palsu antara 1MDB dan Syarikat PetroSaudi International LTD (PSI) yang dikenali sebagai projek Aria diwujudkan tertuduh (Najib) dengan 1MDB meminjam AS$1 bilion kononnya untuk melabur dalam syarikat usaha sama dikenali 1MDB Petro Saudi Limited.

Wang berkenaan adalah untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat usaha sama di mana PetroSaudi International memperoleh 60 peratus saham dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai yang diragukan.

Bagaimanapun menurut Sri Ram, usaha sama ini tidak dimasuki dengan PSI sebaliknya melalui satu syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd. dan Tariq Obaid(kenalan Jho Low) melaksanakan perjanjian bagi mewakili Petro Saudi (Cayman).

Dalam perbicaraan sebelum ini, Shahrol Azral iaitu saksi pendakwaan kesembilan, mendedahkan, perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi PSI meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta, yang berpunca daripada pindahan dana dibuat 1MDB kepada Good Star Ltd, iaitu syarikat dikatakan milik Jho Low.

Beban hutang AS$700 juta itu berlaku selepas syarikat usaha sama masih dimiliki PSI.

Shahrol Azral mengesahkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah 1MDB tidak pernah mengetahui berhubung perjanjian pinjaman ditandatangani 1MDB-PSI pada 29 September 2009.

Saksi itu juga bersetuju di mana sekiranya perjanjian pinjaman itu dikemukakan kepada Lembaga Pengarah, ia tidak akan dipersetujui.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 5:13 PM