FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini berhubung jejak wang syarikat pelaburan strategik negara itu yang akhirnya dipindahkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.

Adam Ariff Mohd Roslan yang juga penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) merumuskan analisis jejak wang mendedahkan pengeluaran dana yang diperoleh 1MDB dan syarikat berkaitannya dipindahkan melalui sistem perbankan pelbagai bidang kuasa asing antara September 2009 dan Disember 2014.

Adam Ariff berkata, berdasarkan kepada laporan analisis itu, sebahagian daripada dana berkenaan kemudiannya dipindahkan kembali ke Malaysia, ke dalam dua akaun Najib di Bank AmIslamic.

Saksi berusia 29 tahun itu berkata, penerimaan dana terbabit ke dalam dua akaun Najib di AmIslamic, dikenal pasti dalam empat fasa, iaitu fasa Good Star, Aabar-BVI, Tanore dan Options Buyback.

Sementara itu, peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka menyoal balas saksi pendakwaan ke-47 itu esok selepas enam hari memberi penjelasan mengenai jejak wang 1MDB dalam empat fasa terperinci.

Adam Ariff hari ini membuat kesimpulan bagaimana jutaan ringgit disedut ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri di Ambank oleh beberapa entiti yang dikaitkan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Dalam pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menyoal saksi itu mengenai percanggahan tarikh yang dinyatakan dalam laporan yang disediakannya dan pertuduhan yang didakwa ke atas Najib.

Ahmad Akram memberi contoh mengenai pertuduhan bagi fasa Good Star, yang mana ia dinyatakan tarikhnya adalah 'antara 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011', namun laporan Adam Ariff menyatakan Najib menerima dana antara '23 Februari 2011 dan 14 Jun 2011'.

Menjawab soalan itu, Adam Ariff berkata, beliau mengambil 'julat maksimum transaksi', tetapi Najib hanya menerima wang itu pada 24 Februari yang menjelaskan perbezaannya.

Adam Ariff berkata, beliau diarahkan menilai 19 urus niaga berjumlah RM2.282 bilion dalam dua akaun bank milik Najib.

Menurutnya, transaksi itu berlaku antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 dengan amaun serendah RM11,567.57 dan paling tinggi RM602 juta.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 5:05 PM