Adam Ariff (kanan) hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini sebagai saksi pendakwaan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. FOTO BERNAMA
Adam Ariff (kanan) hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini sebagai saksi pendakwaan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. FOTO BERNAMA
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini diberitahu, wang lebih RM60.6 juta yang dipindahkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Datuk Seri Najib Razak, berasal daripada terbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

TIA ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu sebuah syarikat pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD) pada 25 September 2009.

Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1MDB yang juga saksi pendakwaan ke-47, Adam Ariff Mohd Roslan, 29, berkata wang dalam akaun Najib yang diterima pada 23 Februari dan 13 Jun 2011 daripada akaun Bank Riyad, juga berasal daripada pinjaman bertempoh bersindiket RM2.5 bilion oleh 1MDB.

Adam Ariff berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar pada sesi pemeriksaan utama, berhubung sumber wang berkenaan berdasarkan analisis keseluruhan yang dijalankan saksi.

Adam Ariff yang menjalankan analisis ke atas jejak wang dalam akaun bekas perdana menteri itu, semalam memberitahu mahkamah, akaun bank Najib menerima RM60.629 juta daripada Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud, pada 23 Februari dan 13 Jun 2011.

Beliau dipetik berkata, nombor akaun bank Putera Faisal, adalah sama dengan nombor akaun Bank Riyad, Arab Saudi yang menerima dana daripada Good Star Ltd (iaitu syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Katanya, akaun Bank Riyad itu memindahkan dana ke akaun Najib dalam tempoh satu hingga tiga hari selepas Good Star memindahkan dana ke akaunnya.

Keterangan Adam Ariff membabitkan jejak wang bagi Fasa 'Good Star' antara 23 Februari dan 14 Jun 2011 membabitkan RM60.629 juta dikreditkan ke akaun sama daripada akaun Riyad Bank, yang dikesan pada terbitan Bon IMTN 1MDB pada 2009 dan pinjaman bertempoh bersindiket pada 2010.

Saksi itu memberikan keterangan terhadap Najib 70, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Adam Ariff yang merujuk kepada laporan jejak wang dalam akaun Najib bagi Fasa 'Aabar-BVI', berkata akaun peribadi Najib turut menerima AS$30 juta daripada sebuah syarikat samaran, Blackstone Asia Real Estate Partners.

Menurut saksi itu, akaun berkenaan menerima wang melalui dua peringkat iaitu berjumlah AS$5 juta pada 30 Oktober 2012 dan AS$25 juta lagi dipindahkan pada 19 November tahun sama.

Blackstone ialah sebuah syarikat yang dikatakan dikawal oleh Jho Low melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong atau Eric Tan.

Fasa 'Aabar-BVI' antara 30 Oktober dan 20 November 2012 dengan RM90.899 juta dikreditkan ke AmPrivate Banking-MR daripada akaun Standard Chartered Bank, Singapura atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners yang dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 2:25 PM