Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan saksi bagi kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan saksi bagi kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Saksi pendakwaan ke-47 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa beliau tidak mempunyai sebarang petunjuk berhubung RM60.629 juta daripada akaun Bank Riyad, Arab Saudi yang dipindahkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak datang dari sumber lain selain daripada sumber syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, penganalisis Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB), Adam Ariff Mohd Roslan, 29, juga tidak dapat membuat kesimpulan secara saintifik bahawa AS$10 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib sebanyak dua kali, berasal daripada syarikat Good Star Ltd.

Good Star ialah syarikat yang dikatakan dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Muhammad Shafee: Kamu tidak boleh membuat kesimpulan secara saintifik dua transaksi yang setiap satu berjumlah AS$10 juta dari Good Star.

Adam Ariff: Secara saintifik, tidak.

Muhammad Shafee: Jadi ia adalah pendapat berdasarkan tekaan?

Adam Ariff: Saya tidak setuju. Saya tidak mempunyai bukti pada akaun bank itu, tetapi saya mempunyai bukti sebelum dan selepas pemindahan, dan sebagai penganalisis bukti ini sudah mencukupi.

Muhammad Shafee ketika menyoal balas Adam Ariff pada sesi pemeriksaan balas, saksi itu juga memberitahu beliau tidak akan mengetahui jumlah dana dalam akaun Bank Riyad pada bila-bila masa kerana tidak mempunyai dokumen institusi perbankan berkenaan.

Adam Ariff yang bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee berkata, beliau tidak menerima sebarang dokumen bank terbabit daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menjalankan analisis jejak aliran wang 1MDB.

Ketika disoal sama ada beliau sedar asas pembelaan Najib bahawa wang dalam akaunnya adalah pemberian Arab, Adam Ariff berkata beliau mendapat tahu mengenainya melalui laporan akhbar.

Adam Ariff yang menjalankan analisis ke atas jejak wang 1MDB dalam akaun bekas perdana menteri itu, dalam keterangan sebelum ini memberitahu mahkamah, akaun bank Najib menerima RM60.629 juta daripada Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud, pada 23 Februari dan 13 Jun 2011.

Katanya, nombor akaun bank Putera Faisal adalah sama dengan nombor akaun Bank Riyad, Arab Saudi yang menerima dana daripada Good Star Ltd.

Keterangan Adam Ariff membabitkan jejak wang bagi Fasa 'Good Star' antara 23 Februari dan 14 Jun 2011 membabitkan RM60.629 juta dikreditkan ke akaun sama daripada akaun Riyad Bank, yang dikesan pada terbitan Bon IMTN 1MDB pada 2009 dan pinjaman bertempoh bersindiket pada tahun 2010.

Sementara itu, ketika dicadangkan Muhammad Shafee bahawa dana AS$20 juta sebenarnya adalah pemberian daripada Allahyarham Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz, saksi berkata beliau hanya boleh mengesahkan ia daripada Putera Faisal yang dikreditkan ke dalam akaun Najib menerusi akaun Good Star di Riyad Bank pada 24 Februari dan 14 Jun 2011.

Saksi itu memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 7:48 PM