Eron (kiri) menghantar anak keduanya, Fida Adira a/p Eron,20 bersama isteri, Fatimah Ali,49 dengan menyewa kereta saudara. FOTO ihsan UMK
Eron (kiri) menghantar anak keduanya, Fida Adira a/p Eron,20 bersama isteri, Fatimah Ali,49 dengan menyewa kereta saudara. FOTO ihsan UMK
Nor Amalina Alias

Bachok: Demi menghantar anaknya ke universiti, seorang bapa kaum Orang Asli sanggup meminjam kereta untuk menghantar mendaftar untuk sesi pelajaran 2023/2024 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, semalam.

Eron Binchar, 41, daripada suku kaum Temuan menghantar anak keduanya, Fida Adira dengan menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer.

Mereka menempuh perjalanan hampir empat jam dari kampung Sungai Bot, Telemong di Karak, Pahang untuk ke UMK Kampus Bachok.

Eron berkata, dia meminjam kereta jenis Proton Saga milik saudaranya kerana tidak mahu anaknya ketinggalan mendaftar untuk program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

Katanya, dia dan anak serta isteri, Fatimah Ali, 49, bertolak pada Sabtu malam bagi memudahkan mereka ke UMK.

"Saya tidak mahu anak ketinggalan masuk universiti kerana sebelum ini anak sulung juga pernah dapat tawaran universiti tapi tidak dapat masuk kerana kami kurang mampu biayai yuran pengajiannya.

"Saya hanya kerja kampung dan tiada pendapatan tetap, jadi dengan inisiatif laluan khas, anak dapat masuk universiti dan kami tak mahu ketinggalan hantar dia," katanya.

Anaknya mendapat laluan khas oleh Bahagian Kemasukan UPU dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Eron berkata, Fida begitu rajin dan cemerlang dalam pelajaran, selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) diumumkan, dia memilih UMK untuk menyambung pengajian.

Seorang lagi pelajar Orang Asli, Shahrizan Layar, 20 berkata, dia meminati bidang animasi dan mengakui kesempitan hidup di pedalaman lebih mendorongnya untuk berjaya.

Kata anak penoreh getah dari Kampung Orang Asli Gebok, Mantin, Negeri Sembilan, dia mahu merebut peluang belajar di universiti untuk mengubah nasib keluarga.

"Kami tinggal di perkampungan dan dengan bantuan kenderaan milik agensi kerajaan datang hantar saya ke UMK.

"Saya berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh selepas lihat kegigihan ibu bapa hantar kami ke sini," katanya juga suku asli Temuan.

Pada pendaftaran semalam, UMK menerima 3,121 pelajar baru bagi sesi akademik 2023/2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 11:29 AM