Nor Amalina Alias

DUA tahun lalu, dia pernah gagal mendapat tawaran Institut Pengajian Guru (IPG) dan hampir kecewa apabila impian untuk bergelar pendidik terkubur, namun hari ini dia ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti secara percuma.

Itu kemanisan yang dinikmati pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Nur Izzati Mat Rodhi, 20, yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0, Februari lalu.

Nur Izzati, yang juga anak kelima daripada enam beradik kepada pasangan Mat Rodhi Junoh, 58, dan Noor Laila Ishak, 53, menerima tawaran biasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang hadir ke rumahnya hari ini.

Nur Izzati berkata, dia terharu apabila ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke UMK dan menerima tajaan sepanjang empat tahun pengajian dan wang saku bulanan sekiranya dia bersetuju.

Katanya, sebelum ini dia pernah bercita-cita menyambung pelajaran pendidikan kerana mahu menjadi guru namun permohonannya ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 20017 gagal kerana dia hanya mendapat 6A dan E dalam mata pelajaran Matematik Tambahan.

“Sejak itu, saya nekad sambung tingkatan enam dalam jurusan sastera dan saya betul-betul fokus pada setiap mata pelajaran yang diambil.

“Kegagalan ke IPG mengajar saya untuk lebih gigih berusaha kerana saya memang betul-betul berminat jadi guru sama ada dalam bidang sejarah ataupun perniagaan,” katanya ketika dilawati wakil UMK di rumahnya di Kampung Kubang Tuman, Tawang, Bachok, hari ini.

Wakil UMK diketui Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Profesor Dr Mohd Rafi Yaacob.

Nur Izzati mendapat keputusan cemerlang STPM dalam lima matapelajaran yang diambil iaitu Pengajian Am, Sejarah, Bahasa Melayu, Sastera dan Perniagaan ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus.

Lebih manis, anak kepada pengawal keselamatan dan tukang sapu sekolah itu turut mendahului senarai pelajar terbaik STPM di Malaysia selain empat lagi pelajar cemerlang STPM yang diumumkan tahun ini juga datang dari pelajar dari Negeri Kelantan.

“Untuk tawaran ke UMK pula, saya berterima kasih atas tawaran yang diberikan dan apa yang menarik UMK memang universiti yang terkenal dengan konsep perniagaan dan keusahawanan yang saya minati,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rafi berkata, Nur Izzati adalah seorang daripada lima pelajar cemerlang STPM yang ditawarkan biasiswa oleh UMK untuk menyambung pengajian pada peringkat sarjana muda bagi sesi pengambilan September 2020/21.

Selain Nur Izzati, empat lagi pelajar cemerlang STPM ditawarkan biasiswa itu adalah Siti Aishah Mz Rozalan dari SMK Ayer Lanas, Jeli dan tiga pelajar SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas iaitu Mohd Hafiza Ismail, Fatin Nur’ Izzati Md Azmi dan Siti Nazira Sakiam.

Beliau berkata,tawaran biasiswa itu adalah julung kali diperkenalkan universiti berkenaan dan kriteria penerima biasiswa haruslah mendapat PNGK 3.0 ke atas dan dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 1:32 PM
MOHD Rafi (kiri) menunjukkan senarai Program Prasiswazah kepada Nur Izzati (dua kanan) sambil diperhatikan ibunya Noor Laila Ishak, 53 (kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Rafi (kiri) menunjukkan senarai Program Prasiswazah kepada Nur Izzati (dua kanan) sambil diperhatikan ibunya Noor Laila Ishak, 53 (kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar