GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hidayatidayu Razali


Bachok: Penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) perlu menjalani ujian kendiri Covid-19, dan hanya mereka disahkan negatif dibenarkan mendaftar di kolej kediaman.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Razli Che Razak, proses saringan itu bagi memastikan penuntut sihat dan mematuhi syarat ditetapkan sebelum dibenarkan memasuki kolej kediaman atau penginapan luar kampus.

"Hanya penuntut yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 sahaja yang dibenarkan berada di kampus.

"Bilangan penuntut yang menduduki kolej kediaman tertakluk kepada kapasiti asrama ditetapkan bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau meninjau proses kemasukan penuntut secara fizikal di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok, Tangok, di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 3,719 penuntut semester September Sesi Akademik 2021/2022, kembali ke kampus UMK, bermula hari ini sehingga 18 Oktober ini.

"Proses pendaftaran kemasukan penuntut berjalan lancar selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"UMK mengalu-alukan kehadiran semua pelajar senior dan baharu yang akan memulakan sesi pengajian sesi semester ini secara hibrid.

"Kemasukan penuntut secara fizikal ke UMK membabitkan penginapan kolej kediaman dan luar kampus bagi ketiga-tiga kampus UMK. Pihak UMK akan menerima kemasukan secara berperingkat di ketiga-tiga kampus iaitu UMK Bachok, UMK Kampus Jeli dan UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 5:58 PM