ZALIMAN (tengah) bersama penerima Food Bank YaPEIM. FOTO Ihsan UMK.
ZALIMAN (tengah) bersama penerima Food Bank YaPEIM. FOTO Ihsan UMK.
Hazira Ahmad Zaidi


SERAMAI 300 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam kalangan B40 menerima sumbangan keperluan harian dan makanan menerusi Program Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 1.0.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, program Foodbank YaPEIM 1.0 itu adalah inisiatif baharu Seksyen Tatatertib dan Kebajikan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMK.

Katanya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama YaPEIM bagi membantu penuntut kurang berkemampuan.

“Ia bagi meringankan beban kos sara hidup mereka sepanjang tempoh pengajian di universiti.

“Keperluan makanan ini sangat penting kepada mahasiswa, disebabkan itu UMK sentiasa berikhtiar selain menjalinkan kerjasama dengan semua pihak, termasuk YaPEIM untuk memastikan program ini benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Food Bank YaPEIM 1.0 dan Penyerahan Tricycle Kepada Pelajar UMK, di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Zaliman berkata, sebelum ini, program Food Bank Siswa dan Gerobok Makanan sudah dilaksanakan secara konsisten dan memanfaatkan penuntut B40 di UMK.

“Inisiatif ini diusahakan secara bersama antara Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pusat Islam serta Majlis Perwakilan Pelajar UMK.

“Selain itu, pihak universiti turut menempatkan makanan yang diperlukan di kawasan strategik seperti di kolej kediaman dan masjid.

“Kami juga membuat kunjungan ziarah prihatin ke rumah penuntut, sama ada yang menyewa rumah di luar kampus atau keluarga, dan ia mendapat sambutan luar biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 8:43 PM