Hidayatidayu Razali


Bachok: Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai kelonggaran universiti dan institut pengajian tinggi (IPT) untuk mengadakan konsert 'kecil dan terkawal' di kampus.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan itu akan diadakan dengan Menteri Pendidikan Tinggi menerusi mesyuarat pada Rabu ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mahasiswa menerusi Program 'Temu Anwar' Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini, mengenai tindakan yang bakal diambil susulan konsert yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini.

ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama
ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kemungkinan kerajaan akan longgarkan sedikit iaitu untuk adakan program kebudayaan dan konsert di kampus, namun ia diadakan secara kecil dan terkawal.

"Konsert dengan kawalan boleh diadakan tetapi kita kawal sedikit. Saya tidak beri kelonggaran untuk anak muda rosak akhlaknya. Jaga akhlak itu yang paling penting.

"Bagaimanapun ia akan diberikan untuk program kebudayaan. Tapi yang sambut itu (konsert) tidak besar mungkin boleh beri kebenaran kepada kampus. Saya akan bincang dengan Menteri KPT hari Rabu ini," katanya.

Beliau berkata, perbincangan pada Rabu ini untuk mendengar pandangan dan akan melihat reaksi, selain salinan arahan yang dikeluarkan oleh pihak universiti terbabit untuk menyelesaikan masalah itu.

Terdahulu, tular rakaman video sebuah konsert yang memaparkan gelagat penuntut lelaki dan perempuan sedang berhibur sambil menari sehingga menarik perhatian orang ramai.

Susulan itu, media melaporkan kerajaan Terengganu akan melakukan siasatan berhubung video konsert tular kononnya berlangsung di dalam dewan sebuah institusi pengajian tinggi awam di Terengganu, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat, berkata ketika ini, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 6:23 PM