ROSMAWATI membantu menolak kerusi roda Nursyuhaila di kampus USM. FOTO Ihsan USM
ROSMAWATI membantu menolak kerusi roda Nursyuhaila di kampus USM. FOTO Ihsan USM
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Pada usia 15 tahun Nursyuhaila Abdullah, 21, pernah diuji tuberkulosis atau tibi yang turut menyerang saraf tunjang sehingga menyebabkan kedua belah kakinya lumpuh hingga paras pinggang.

Namun, kekurangan diri tidak menghalang anak bongsu daripada empat beradik itu mendaftar sebagai pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) ditemani ibunya Rosmawati Salleh, 55, di sini, hari ini.

"Alhamdulillah saya bersyukur ibu sanggup tinggal bersama-sama di USM sepanjang pengajian nanti. Saya memang sangat memerlukan bantuan ibu kerana kesan penyakit itu masih dapat dirasai.

"Ada masanya saya mengalami kekejangan otot kaki yang menyukarkan saya melakukan urusan seharian selain perlu mengikuti rawatan susulan di Jabatan Perubatan Rehabilitasi Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya ketika ditemui pemberita.

Bekas penuntut Maktab Rendah Sains MARA Transkrian itu berkata, akibat penyakit itu dia tidak bersekolah selama setahun sepanjang berada di tingkatan empat sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Mutiara Kulim yang jarak kira-kira 10 minit dari rumahnya.

"Jadi pada masa itu ibu jugalah insan yang banyak berkorban masa, tenaga yang hantar dan ambil dari sekolah. Ibu juga datang setiap kali pada waktu rehat tolong urus pergerakan saya ke tandas dan sebagainya.

"Saya sangat berterima kasih kepada ibu. Insya-Allah saya nak belajar bersungguh dan ingin mencapai cita-cita bergelar pensyarah suatu hari nanti," ujarnya yang memperoleh 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seorang lagi pelajar baharu dari Pusat Pengajian Kajihayat, Aliff Haikal Ayob, 19, berkata, dia bertekad menempa kejayaan dalam bidang akademik selepas disahkan bebas penyakit kanser limfoma tahap tiga pada 2021.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, selepas didiagnosis kanser sejak berusia 10 tahun dia banyak ketinggalan dalam pelajaran sehingga sekadar meraih 1B 2C 3E Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Disebabkan kerap masuk menerima rawatan di hospital saya sangat berminat dengan mata pelajaran Biologi kerana ia berkait rapat dengan tubuh badan manusia dan bercita-cita menjadi ahli mikrobiologi.

"Jadi saya tekad belajar bersungguh-sungguh hingga memperoleh 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pada peperiksaan akhir sewaktu belajar di Kolej Matrikulasi Perlis saya meraih purata nilai kumulatif (PNGK) 3.83," kata anak jati Alor Setar, Kedah itu.

Terdahulu, seramai 4,696 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Diploma menerima tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma mendaftar sebagai pelajar baharu bagi sidang akademik 2023/2024 di USM, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 5:21 PM