KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Chin Ching Chung (tengah) menunjukkan bekalan minyak masak berpaket yang mencukupi sewaktu membuat pemeriksaan di sebuah pasaraya. FOTO Zuliaty Zulkifli
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Chin Ching Chung (tengah) menunjukkan bekalan minyak masak berpaket yang mencukupi sewaktu membuat pemeriksaan di sebuah pasaraya. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah mengesahkan kuota minyak masak paket satu kilogram (kg) adalah mencukupi untuk tahun ini dengan bekalan diterima secara berperingkat sejak 1 Januari lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Chin Ching Chung berkata, hasil pemeriksaan pihaknya selama dua hari bermula semalam mendapati, bekalan minyak masak bersubsidi di negeri itu adalah mencukupi dan tiada berlaku 'krisis' kekurangan.

Beliau berkata, pemeriksaan itu termasuklah di pasar raya, kedai runcit serta 17 kilang pemprosesan minyak masak di negeri ini.

"Hasil pemeriksaan di pasar raya mendapati bekalan minyak masak paket ada 700 kilogram dan ia mencukupi untuk pengguna.

"Kita percaya kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi ini adalah disebabkan pembelian panik yang dilakukan oleh pengguna mungkin disebabkan nampak banyak kotak baru sampai dan sebagainya.

"Tapi yang pasti kuota yang diterima 2,722 tan setiap bulan di negeri ini mencukupi dan tidak perlu ditambah terutama menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina ini," katanya pada sidang media ketika melakukan lawatan di sebuah pasar raya di sini.

Chin berkata, lawatan itu susulan laporan akhbar mengenai kekurangan bekalan minyak masak paket satu kilogram seperti didakwa peniaga dan orang ramai, sebelum ini.

Katanya, hasil laporan itu beliau mengarahkan pihaknya melakukan pemeriksaan di semua premis, kedai runcit termasuk pemborong dan pembekal di negeri ini untuk memastikan tidak berlaku penyelewengan penjualan minyak masak bersubsidi itu.

"Setakat ini kita belum menerima sebarang aduan berhubung minyak masak subsidi yang disorok peniaga atau pengilang dan jika kita menerima sebarang aduan, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu kita menasihatkan pengguna supaya memaklumkan kepada pihak kami sekiranya mempunyai sebarang masalah berhubung kekurangan bekalan minyak masak subsidi ini atau sebarang kes supaya tindakan susulan boleh diambil," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, bekalan minyak masak paket di negeri ini berkurangan sejak sebulan lalu berikutan kuota yang diberikan kepada pemborong dan peniaga dikurangkan oleh pihak pembekal.

Berita berkaitan

Minyak masak kurang pulak dah...[METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 8:00 PM