GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Masyarakat kini bukan saja berdepan dengan isu kenaikan mendadak harga barangan asas, bahkan ketiadaan bekalan beras tempatan dan minyak masak paket di pasaran semakin memberi tekanan kepada golongan memerlukan.

Peruncit, Amar Ashraf, 35 berkata, kedai mininya sudah dua bulan terputus bekalan beras tempatan menyebabkan dia terpaksa menjual beras import yang mengalami kenaikan harga begitu ketara.

Masyarakat kini bukan saja berdepan dengan isu kenaikan mendadak harga barangan asas, bahkan ketiadaan bekalan beras tempatan dan minyak masak paket di pasaran semakin memberi tekanan kepada golongan memerlukan.

Katanya, sebelum pengumuman harga beras import dinaikkan, dia sudah tidak mendapat stok beras tempatan terutama jenama pilihan pelanggan sejak beberapa minggu lalu.

"Sekarang sudah bukan isu harga beras mahal, walaupun hanya beras import naik harga.. tetapi stok beras tempatan yang tiada langsung di pasaran.

"Disebabkan beras tempatan tiada, pelanggan terpaksa membeli beras import yang mengalami kenaikan harga antara RM12 ke RM17 bagi paket 10 kilogram.

"Jadi kuasa membeli turut berkurangan. Sebelum ini dengan RM50, pelanggan dapat beli beras, ayam atau ikan. Sekarang dengan nilai sama nak beli beras (RM40) dan sepapan telur (RM15) pun tak cukup," katanya kepada Harian Metro.

Amar berkata, selain beras tempatan, minyak masak paket 1 kilogram juga bermasalah apatah lagi bekalan yang diterima daripada pemborong hanya satu ke dua karton sahaja.

"Peruncit macam kami kalau hendak dapat satu atau dua karton minyak paket kena beli barang lain minimum RM1,000.

"Tapi minyak paket masih ada walaupun 'tenggelam timbul'. Apa yang terus `tenggelam' sekarang adalah beras tempatan," luahnya yang turut berdepan kemerosotan jualan sekitar 20 peratus.

Tinjauan Harian Metro mendapati bekalan beras tempatan bukan saja tiada di kedai runcit, malah pasar raya besar turut berdepan dengan kekurangan bekalan.

Perkara itu diakui oleh pekerja pasar raya yang menyatakan stok beras tempatan diterima terhad dan pihak pasar raya terpaksa mengehadkan pembelian hanya 20 kilogram untuk setiap keluarga.

"Selalunya bila kami keluarkan stok beras tempatan, memang akan jadi rebutan pelanggan. Sekejap saja akan habis licin," katanya yang tidak mahu dikenali.

Sementara itu, pengguna Elma Basri, 46, berkata sudah lama dia sukar mendapatkan beras tempatan.

"Disebabkan kenaikan harga yang tinggi, saya terpaksa membeli beras import lima kilogram. Kalau dulu jika saya hanya beli nasi saja di kedai makan, paling mahal RM2, sekarang sudah RM3," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 3:01 PM