TINJAUAN harga makanan susulan kenaikan harga beras di sekitar Kuala Lumpur, semalam.FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
TINJAUAN harga makanan susulan kenaikan harga beras di sekitar Kuala Lumpur, semalam.FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Oleh Aqil Sharullizam dan Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Kebanyakan peniaga makanan masih mengekalkan harga sepinggan nasi putih walaupun berlaku kenaikan harga beras putih import dan kekurangan bekalan beras super spesial tempatan (SST) bagi mengelakkan pelanggan terbeban.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan premis makanan di ibu kota masih mengekalkan harga sepinggan nasi putih pada kadar antara RM2 hingga RM3 sepinggan.

Pengusaha restoran nasi kandar, Bashir Moideen, 44, berkata, tiada sebarang kenaikan bagi harga untuk sepinggan nasi putih di premisnya buat masa ini.

"Kita masih menjual nasi putih biasa dengan harga RM2 sepinggan manakala nasi tambah pula dikenakan caj RM1 sahaja.

"Harga dan saiz hidangan masih kekal sejak tiga tahun lalu walaupun berhadapan dengan pelbagai isu kenaikan harga barang.

"Di kedai saya sekarang menggunakan beras putih import yang dibeli pada harga RM29.80 untuk 10 kilogram (kg) berbanding RM26 sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pengurus sebuah restoran, Ricky Yo, 50, berkata harga nasi putih di premisnya juga dikekalkan apabila menerima bekalan beras SST pada harga ditetapkan pembekal.

"Beras tempatan (SST) yang kami guna akan dibekalkan oleh pembekal melalui kontrak yang sudah dipersetujui menyebabkan harga masih boleh dikawal walaupun tidak dinafikan berlaku kenaikan harga beberapa barangan keperluan lain.

"Kenaikan harga beras itu ada, tapi kita dapat berunding terus dengan pembekal bagi memastikan harga yang mereka kenakan masih dalam kawalan.

"Harga bagi sepinggan nasi adalah RM2.50 manakala bagi nasi goreng pula adalah RM16. Ia diambil dikira berdasarkan kos sewaan tapak, gaji pekerja dan bahan keperluan masakan yang saban hari semakin meningkat," katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa prihatin dan tidak menaikkan harga makanan sesuka hati walaupun menyedari berlaku kenaikan harga beras ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 8:01 AM