Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kebanyakan kedai runcit dan pasar raya di daerah ini kehabisan minyak masak paket satu kilogram (kg) manakala minyak masak botol lima kilogram pula mengalami kekurangan stok.

Tinjauan mendapati pengguna hanya dibenarkan membeli dua minyak masak paket dipercayai untuk menampung kekurangan bekalan di pasaran.

Pasa masa sama, harga minyak masak botol lima kilogram melonjak naik sehingga RM50 sebotol bergantung kepada jenama berbanding hanya RM27 hingga RM29, sebelum ini.

Peniaga kedai runcit, Mahasan Yasar, 53, berkata kekurangan bekalan minyak masak paket sudah berlarutan lama dan ia bertambah rumit apabila kerajaan membuat keputusan untuk menghapuskan subsidi bagi minyak masak botol bermula 1 Julai lalu.

"Bagi harga minyak masak botol, saya masih menjual pada harga lama walaupun kerajaan sudah menghapuskan subsidi kerana tidak mahu membebankan pengguna.

"Pada masa sama, pembekal hanya memberikan 30 hingga 40 kotak minyak masak paket berbanding 80 hingga 100 kotak sebelum ini menyebabkan saya terpaksa mengehadkan pembelian minyak masak kepada pelanggan," katanya ketika ditemui di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, hari ini.

Peniaga kedai runcit lain, Mohd Shahmin Mohd Kamal, 20, berkata bekalan minyak masak paket sukar diperolehi sejak beberapa bulan lalu.

"Saya tidak banyak menjual minyak masak botol kerana harganya mahal, lagiun ia kurang mendapat permintaan selain perlu membeli dengan modal yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 1:02 PM
Peniaga menunjukkan ketiadaan minyak masak peket satu kilogram di rak di kedainya semasa tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Peniaga menunjukkan ketiadaan minyak masak peket satu kilogram di rak di kedainya semasa tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar