LIMA mangsa dikuatiri hilang di Gunung Tebu, Jabi, Besut ditemui selamat kira-kira jam 9.15 pagi. FOTO Ihsan pembaca
LIMA mangsa dikuatiri hilang di Gunung Tebu, Jabi, Besut ditemui selamat kira-kira jam 9.15 pagi. FOTO Ihsan pembaca
Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Lima mangsa yang dikhuatiri hilang selepas tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di kawasan hutan Gunung Tebu, Jabi ditemui selamat kira-kira jam 9.15 pagi.

Bapa kepada mangsa berkenaan, Mohamad Embong, berkata, dua anaknya Mohd Huzaimi Mohamad, 38 serta Mohamad Huzaifah Mohamad, 33, bersama tiga lagi rakan mereka dari Bukit Tunggal, Kuala Nerus terkandas di hutan berkenaan sejak Khamis lalu.

Katanya, jika diikutkan rancangan asal kumpulan pendaki itu tidak mahu bermalam di hutan kerana mahu terus turun dari gunung pada petang 31 Ogos.

"Anak memaklumkan ketika mereka dalam perjalanan menuruni gunung ada pokok tumbang yang menghalang trek laluan asal untuk turun.

"Mereka cuba mencari jalan lain untuk turun tetapi tidak jumpa dan membuat keputusan tidak berpecah serta terus berada situ kerana salah seorang rakan tercedera terseliuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad berkata, jika diikutkan salah seorang dari kumpulan itu pernah beberapa kali mendaki Gunung Tebu dan disebabkan itu anak-anaknya memberanikan diri untuk turut sama mendaki.

"Alhamdulillah pagi ini ketika sesi taklimat Operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) anggota keselamatan sedang dilakukan mereka perasan kumpulan pendaki ini berjalan keluar dari kawasan hutan," katanya.

Beliau berkata, mangsa dikhuatiri hilang sebenarnya lima orang tetapi hanya tiga orang saja yang dilaporkan kepada polis.

"Saya serta salah seorang ibu mangsa saja yang buat laporan manakala dua mangsa lagi tiada laporan polis dibuat.

"Saya berterima kasih kepada semua anggota keselamatan terbabit, orang kampung, malim hutan yang turut sama membantu mencari mangsa sejak petang semalam," katanya.

Sementara itu, Zaharah Omar, 56, ibu kepada salah seorang mangsa, Muhammad Azroy Mohd Aluwi, 23 pada awalnya anaknya memaklumkan mahu pergi ke Besut Khamis lalu.

"Semalam dia hantar mesej memberitahu mereka sesat serta meminta untuk mendapatkan bantuan daripada anggota keselamatan.

"Syukur mereka semua dapat keluar dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula kira-kira jam 8 pagi dengan disertai tiga pegawai dan 20 anggota polis, enam pegawai dan 13 anggota bomba, dua pegawai dan 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam serta sembilan malim gunung.

"Kawasan Hutan Lata Belatan juga ditutup sementara pagi ini untuk melancarkan kerja-kerja operasi mencari dan menyelamat.

"Hasil siasatan mendapati mereka tersalah laluan semasa mendaki ke Gunung Tebu dan semua mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan serta pemeriksaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 11:23 AM