POS kawalan bomba untuk tugas mencari dan menyelamat. FOTO ihsan pembaca (Leong Beng Tatt)
POS kawalan bomba untuk tugas mencari dan menyelamat. FOTO ihsan pembaca (Leong Beng Tatt)
Nur Syazwana Mansor


Gurun: Seramai 18 pendaki terkandas di Gunung Jerai selepas seorang daripada mereka mengalami kecederaan di kaki sehingga tidak boleh bergerak ketika sedang menuruni laluan mendaki pada ketinggian 600 meter paras laut berdekatan laluan ke Bukit Hangus, Merbok, Sungai Petani, petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ridzuan Nut Jamudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadiaan berkenaan pada jam 6.42 petang dan seramai 10 orang membabitkan pegawai dan anggota bomba dari BBP Sungai Petani bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kumpulan pendaki berkenaan membabitkan 12 lelaki dan enam wanita.

"Bagaimanapun seorang pendaki wanita berusia 21 tahun dikatakan terjatuh ketika menuruni laluan pendakian terbabit dan mengalami kecederaan di kaki sehingga tidak dapat berjalan sendiri.

"Usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan dengan pembabitan enam anggota bomba dan bantuan dari seorang renjer hutan, dua anggota polis serta lapan malim gunung," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dimulakan pada jam 9.11 malam tadi, selepas pihaknya mendengar taklimat dari renjer hutan

"Operasi mencari dan menyelamat dimulakan dari Lembah Bujang dan jarak dari tempat operasi ke lokasi mangsa berada adalah sejauh 3.4 kilometer,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 11:28 PM