FOTO Ihsan Kelab Gagau Kemaman (KGK)
FOTO Ihsan Kelab Gagau Kemaman (KGK)
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Tiga lelaki dikuatiri hilang selepas tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di kawasan hutan Gunung Tebu, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, anggota bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menerima panggilan daripada seorang wanita dipercayai ibu salah seorang mangsa melalui panggilan telefon, kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Katanya, ibu kepada Muhammad Asroy Mohd Aluwi memaklumkan anaknya menyertai aktiviti berkenaan bersama dua lagi mangsa.

"Semua mangsa datang dari Kuala Terengganu ke lokasi kejadian untuk aktiviti memanjat Gunung Tebu pada 31 Ogos.

"Mangsa yang hilang berumur lingkungan 20-30 tahun dan keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi malam ini.

"Operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) dilancarkan pada jam 3.30 petang tadi.

"Operasi terdiri daripada empat pegawai kanan dan lapan anggota polis, seorang pegawai dan sembilan anggota bomba, satu pegawai dan empat anggota Pertahanan Awam serta enam orang kampung (malim gunung)," katanya.

Beliau berkata, operasi dihentikan pada jam 6 petang kerana cuaca hujan serta gelap.

"Operasi akan disambung pada jam 8 pagi esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 12:29 AM