Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat sebarang media di negara ini kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau memberi reaksi itu susulan mengenai dakwaan satu lagi portal berita, UtusanTV disekat kepada pengguna di Malaysia kerana dikatakan melanggar undang-undang negara.

"Saya tidak tahu perkara ini, saya rasa anda (wartawan) boleh merujuk kepada SKMM," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran OHSEM Marketing 360 bersama Media Prima dan Dana Iklan Digital OHSEM 360, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau juga tidak menerima laporan mengenai perkara itu namun akan mendapatkan maklumat berkaitan daripada pihak berkenaan.

"Saya percaya media seharusnya bebas. Tetapi saya tidak memberi apa-apa arahan kepada SKMM untuk menyekat sesiapa, sama ada media atau media sosial tiada arahan datang daripada saya atau pejabat saya," katanya.

Bagaimanapun katanya, SKMM mempunyai kuasa sendiri untuk mengambil tindakan melalui aduan yang diterima daripada orang ramai sekiranya ia menjejaskan.

"Sebagai contoh, kadang-kadang jika laporan polis dibuat atau jika aduan oleh orang ramai, SKMM mempunyai kuasa mereka sendiri dan mereka boleh melakukannya (menyekat kandungan di media sosial).

"Kadang-kadang laporan datang daripada polis jadi saya tidak menerima sebarang laporan khusus daripada SKMM mengenai perkara ini tetapi saya akan tanya mereka," katanya.

Semalam media melaporkan, BERSIH meminta SKMM menjelaskan mengenai dakwaan UtusanTV disekat kepada pengguna di Malaysia kerana dikatakan melanggar undang-undang negara.

"Sekatan ke atas laman sesawang UtusanTV.com perlu ditarik segera. Jika ada sebarang isu terhadap kandungan daripada sesebuah organisasi media, satu proses yang telus perlu ada melalui surat tunjuk sebab dan peluang merayu sebelum sebarang sekatan dibuat," kata BERSIH dalam kenyataan.

FAHMI pada sidang media selepas majlis pelancaran Dana Iklan Digital dengan kerjasama antara MDEC, Dattel Asia Group dan Media Prima Berhad. FOTO Rohanis Shukri
FAHMI pada sidang media selepas majlis pelancaran Dana Iklan Digital dengan kerjasama antara MDEC, Dattel Asia Group dan Media Prima Berhad. FOTO Rohanis Shukri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 12:40 PM