Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Seramai 1,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpeluang mengiklankan produk di laman kandungan premium dengan audien seramai 15.8 juta melalui Dana Iklan Digital OHSEM bernilai RM21 juta.

Melalui dana itu, usahawan PKS boleh mendapat akses kepada pengiklanan bernilai RM8,000 pada harga RM1,000 saja.

Dana berkenaan kerjasama antara REV Media Group (REV), Dattel Asia Group (DTL) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang mana ia terhad kepada 1,000 usahawan terawal yang membuat permohonan dan diluluskan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif kerjasama swasta dan kerajaan itu disifatkan strategik dan mempunyai impak tiga penjuru iaitu kepada PKS, platform kandungan tempatan dan ekonomi negara.

Menurutnya, PKS berpeluang mendapat akses kepada pengiklanan laman kandungan premium seperti REV Media dengan harga mesra PKS dan mempuyai pilihan untuk menjalankan iklan selain di media sosial.

"Dengan adanya PKS yang beriklan di platform konten lokal ia dapat memastikan pemain (industri media) lokal menjadi lebih mampan.

"Mengikut data, rakyat Malaysia berbelanja dalam lingkungan RM2 bilion di platform Facebook. Secara tidak langsung, Ringgit Malaysia keluar dan tidak menjana pusingan ekonomi dalam negara.

"Justeru melalui pelancaran dana ini, saya harap sebahagian daripada perbelanjaan pengiklanan dapat menggerakkan ekonomi tempatan," katanya selepas melancarkan acara OHSEM Marketing 360 bersama Media Prima di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (tengah) melancarkan Dana Iklan Digital OHSEM 360 dengan kerjasama MDEC, Dattel Asia Group dan Media Prima. - FOTO NSTP
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (tengah) melancarkan Dana Iklan Digital OHSEM 360 dengan kerjasama MDEC, Dattel Asia Group dan Media Prima. - FOTO NSTP

Turut hadir, Pengarah Urusan Media Prima, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DTL, Datuk Ashran Ghazi; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadzir Aziz dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Fahmi berkata, ekonomi digital adalah sebahagian besar daripada masa hadapan dan antara penyumbang utama kepada pendapatan negara.

"Dengan pertumbuhan ekonomi PKS tempatan menerusi usaha sebegini hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai 'Harimau Digital Asia' dapat direalisasi sejajar usaha negara menghampiri dekad keemasan digital," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee berkata, inisiatif itu hanya permulaan pihaknya untuk menyokong usahawan PKS dan berharap mereka merebut peluang keemasan itu untuk mencuba sesuatu baharu.

Dengan dana berkenaan juga usahawan akan mendapat akses kepada platform profil data pengguna untuk sasaran yang lebih tepat dan platform REV Ad Manager berkuasakan AI.

Pengiklanan untuk PKS selalunya dijalankan di platform media sosial dan pada lazimnya, platform kandungan premium seperti SAYs, Berita Harian, NST, Siraplimau, OHBULAN! tidak termasuk dalam pertimbangan PKS beriklan.

Justeru, Dana Iklan Digital OHSEM membuka ruang usahawan PKS terutamanya mempunyai opsyen selain dari platform media sosial untuk melonjakkan jenama dan jualan mereka.

Justeru, usahawan boleh melayari www.ohsemads.com dan mohon secara dalam talian bagi menjadi 1,000 usahawan bertuah dan kelulusan akan diberitahu dalam 48 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 3:46 PM