Peluang untuk 1,000 SME iklan di laman kandungan premium dengan audiens 15.8 juta - FOTO OHSEM
Peluang untuk 1,000 SME iklan di laman kandungan premium dengan audiens 15.8 juta - FOTO OHSEM
Nurshafika Suhaimi

SEBANYAK RM21 juta Dana Iklan Digital OHSEM dilancarkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sempena acara OHSEM Marketing 360 bersama Media Prima yang bertempat di Hotel Pullman, Bangsar.

Dana ini antara kerjasama Dattel Asia Group (DTL), REV Media Group (REV) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). 

Lazimnya, platform kandungan premium seperti SAYS, Berita Harian, NST, Siraplimau, OHBULAN! tidak termasuk dalam pengiklanan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS).

Justeru, dengan wujudnya Dana Iklan Digital OHSEM ini, usahawan PKS mempunyai pilihan lain untuk melonjakkan jenama dan jualan mereka selain dari platform media sosial.

Melalui dana usahawan ini, PKS boleh mendapat akses kepada pengiklanan yang bernilai RM8,000 dengan hanya RM1,000. 

Fahmi berkata inisiatif kerjasama swasta dan kerajaan ini amat strategik dan memberi kesan tiga penjuru kepada PKS, platform kandungan tempatan, dan ekonomi negara.

PKS

  • Mendapat akses kepada platform pengiklanan kandungan premium seperti REV Media pada harga mesra PKS.
  • PKS mempunyai pilihan untuk menjalankan iklan selain media sosial.

Platform kandungan tempatan

  • Dengan pengiklanan PKS pada platform kandungan tempatan, ini dapat memastikan pemain tempatan terus bertahan.

Ekonomi negara

  • Dengan inisiatif ini, ia membantu merancakkan lagi ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan sekali gus membantu PKS.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dattel Asia, Datuk Ashran Ghazi berharap inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada penjanaan ekonomi dalaman yang komprehensif melalui tiga impak yang dinyatakan oleh Fahmi.

"Kami sangat terbuka untuk bekerjasama dengan platform teknologi pasaran dan platform kandungan lain bagi mencapai aspirasi membantu usahawan PKS dengan lebih pantas, " katanya. 

Dengan dana ini, usahawan juga akan mendapat akses kepada platform data profil pengguna untuk penyasaran yang lebih tepat dan platform Pengurus Iklan REV yang dikuasakan AI.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee berkata Inisiatif ini hanyalah permulaan usaha syarikat untuk menyokong usahawan PKS.

"Saya berharap PKS merebut peluang keemasan ini untuk mencuba sesuatu yang baharu untuk diri mereka sendiri," katanya.

Layari www.ohsemads.com dan mohon sekarang untuk menjadi salah seorang daripada 1,000 usahawan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 5:32 PM