AKSI antara Malaysian University dan JDT di Iskandar Puter semalam. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AKSI antara Malaysian University dan JDT di Iskandar Puter semalam. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Malaysian University, Ridzuan Abu Shah enggan mengangkat bendera putih walaupun pasukannya dibelasah 0-5 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Malah pengendali pasukan Liga A1 Semi-Pro itu akan membuat persiapan lebih rapi untuk berusaha bangkit apabila kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertemu dalam aksi kedua di stadium yang sama, Jumaat ini.

"Tiada apa yang merugikan kami walaupun kami tewas agak besar dalam perlawanan itu dan ia juga memberi pengajaran bermakna buat pemain saya yang bergelar pelajar malah nasib baik tidak dibelasah teruk dan hanya bolos lima gol sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Ridzuan akui sedikit terkilan selepas gol tunggal permainan yang dijaringkan anak buahnya dibatalkan pengadil Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi apabila semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kesalahan yang dilakukan pemainnya.

Pada perlawanan itu, Corbin membuka tirai pesta gol Harimau Selatan seawal minit kedua disusuli jaringan pada babak kedua oleh Francisco Geraldes pada minit 49 dan 61 manakala Shahrul Saad dan Romel Morales turut mencetak gol pada minit ke-71 dan 81.

Ridzuan berkata, hilang konsentrasi dalam kalangan pemain ketika perlawanan bersambung pada babak kedua menjadi punca gawang Malaysian University dibolosi empat gol setelah hanya membenarkan gawang dibolosi satu gol sahaja pada babak pertama.

"Sebelum babak kedua bermula, saya mengingatkan pemain untuk mendisiplinkan diri masing-masing ketika mengawal pemain lawan termasuk saling membantu satu sama lain ketika bertahan, itu yang kita terapkan tetapi hilang konsentrasi menyebabkan gawang dibolosi berkali-kali.

"Pujian perlu diberikan kepada penjaga gol (Muhammad Ashraf Mohamad Fadhil) yang berjaya menggagalkan beberapa peluang keemasan pasukan lawan daripada berpesta gol dengan jaringan yang lebih besar," kata Ridzuan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 2:14 PM