FAHMI berucap melancarkan Dana Iklan Digital Ohsem. FOTO Bernama
FAHMI berucap melancarkan Dana Iklan Digital Ohsem. FOTO Bernama
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan tekad untuk terus menyokong media tempatan dengan pelaksanaan beberapa usaha di bawah kerajaan.

Fahmi berkata, ia juga sebagai langkah supaya rata-rata syarikat media di negara ini mampu menjadi medium penyebaran berita kepada masyarakat dengan lebih mampan.

"Insya-Allah di pihak kerajaan kita sedang meneliti beberapa perkara untuk memastikan ekosistem media negara kita bukan hanya mampu hidup, tapi benar-benar mampan.

"Kita lihat bagaimana di negara lain seperti Australia, Kanada dan banyak lagi berlaku satu pertembungan atau perbincangan sangat hangat membabitkan penggubalan undang-undang dan juga satu perbincangan antara platform besar serta kerajaan," katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran OHSEM Marketing 360 bersama Media Prima dan Dana Iklan Digital 'OHSEM 360' di Hotel Pullman Bangsar, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berharap Malaysia juga mampu menyediakan platform lebih baik untuk mengangkat media tempatan.

"Di Malaysia, kita juga berharap satu perbincangan yang telus dan terbuka dapat kita adakan. Dalam kadar segera bersama paltform besar ini (OHSEM Marketing 360).

"Jadi, kepada rakan media, saya bersama anda," katanya.

Terdahulu, Fahmi merasmikan program OHSEM Marketing 360 bersama Media Prima dan Dana Iklan Digital 'OHSEM 360' di Hotel Pullman Bangsar, di sini, hari ini.

Objektif utama OHSEM Marketing 360 adalah memberi pendedahan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengenai teknologi dan strategi pemasaran terkini.

Tema utama yang diketengahkan adalah Iklan, AI dan Konten dan ketiga-tiga elemen ini penting untuk memastikan pemasaran produk dan perkhidmatan PKS mendapat pulangan pelaburan (ROI) yang dikehendaki dengan kos paling efektif.

Sementara itu, Dana Iklan Digital 'OHSEM 360' bernilai RM21 juta turut menawarkan pengiklanan produk masing-masing di laman kandungan premium dengan jumlah capaian audien seramai 15.8 juta.

Dana yang dilancarkan menerusi kerjasama tiga badan iaitu Dattel Asia Group, REV Media Group dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu terhad kepada 1,000 usahawan pertama yang membuat permohonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 7:23 PM