FAHMI berucap ketika melancarkan Dana Iklan Digital OHSEM bernilai RM21 juta. FOTO Rohanis Shukri
FAHMI berucap ketika melancarkan Dana Iklan Digital OHSEM bernilai RM21 juta. FOTO Rohanis Shukri
BERNAMA

Kuching: Komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dapat menjana lebih pendapatan dan berpeluang mengembangkan perniagaan menerusi inisiatif Dana Iklan Digital OHSEM.

Pengasas Anas Popcorn iaitu jenama tidak asing lagi di Sarawak, Kawi Li berkata, inisiatif yang dilancarkan kerajaan itu dapat membantu PKS terbabit untuk menceburi ekonomi digital melalui kerjasama dengan platform kandungan tempatan.

"Setiap bulan, Anas Popcorn akan membelanjakan lebih RM3,000 untuk pemasaran dan pengiklanan menggunakan platform media sosial, radio dan sepanduk.

"Justeru, pengumuman inisiatif kerajaan ini adalah sangat tepat pada masanya yang memberikan manfaat kepada PKS dan juga platform kandungan tempatan, khususnya PKS yang berpotensi untuk pergi jauh dalam industri," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pengiklanan melalui pelbagai platform memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk PKS terutamanya selepas pandemik Covid-19 yang 'memaksa' masyarakat untuk melabur dalam ekonomi digital.

Kawi berkata, pengiklanan menerusi platform tempatan juga dapat memastikan kemampanan pasaran tempatan berikutan PKS sering mengehadkan pengiklanan mereka kepada media sosial kerana kos yang rendah.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melancarkan Dana Iklan Digital OHSEM bernilai RM21 juta, antara inisiatif bagi menggalakkan usahawan PKS membuat pengiklanan menerusi platform kandungan tempatan.

Beliau berkata, jika sebelum ini PKS perlu membayar RM8,000 untuk capai 100,000 audiens, menerusi inisiatif itu mereka hanya perlu membayar RM1,000 sahaja, iaitu diskaun sehingga lebih 85 peratus.

Fahmi berkata, inisiatif itu dapat memberikan impak kepada tiga pihak iaitu PKS, platform kandungan tempatan dan ekonomi negara.

Dana Iklan Digital OHSEM ialah kerjasama antara Dattel Asia Group (DTL), REV Media Group (REV) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 8:26 AM